EkonomiNegeri

Serba Dinamik sumbang kepakaran bangunkan E-Sports City Selangor

SYARIKAT Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) komited sumbang kepakaran dalam teknologi bagi membangunkan Esport City di Selangor.

E-Sports City Selangor akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa termasuklah akademi latihan, inkubator permainan serta hotel yang bertemakan e-sukan.

Pembangunan kemudahan e-sukan itu disasarkan menjadi yang terbesar di Asia Tenggara melibatkan pelaburan sehingga RM10 juta.

Justeru, syarikat menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Persatuan Sukan Elektronik Selangor (ESS) serta Universiti Sains Komputer dan Kejuruteraan Malaysia (Unimy) bagi tujuan berkenaan.

“Berlandaskan kerjasama dan sokongan pihak berkepentingan ini, Serba Dinamik sasar untuk mengembangkan bakat e-sukan tempatan ke tahap antarabangsa dengan membangunkan infrastruktur bertaraf dunia, program pengembangan bakat dan sistem profil bakat yang dimiliki.”


Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr. Mohd. Abdul Karim Abdullah, yang menghadiri majlis tandatangan MOU di Mardhiyyah Hotel, Shah Alam baru-baru ini.

Tambah beliau, sektor sukan elektronik adalah satu fenomena dan tidak boleh dipinggirkan kerana mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

Malah beliau turut merujuk kepada laporan nilai pasaran daripada Newzoo yang menyatakan Asia Tenggara menjana pendapatan berjumlah 4.4 bilion Dolar Amerika Syarikat (AS) (RM18.02 bilion) daripada sektor permainan pada 2019 dan 2020.

Menurut kajian itu lagi, nilai pasaran itu terus meningkat sebanyak 16 peratus setiap tahun.

Sementara itu, Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan dan Generasi Muda serta Sukan Negeri Selangor, Mohd. Khairuddin Othman, memaklumkan kemudahan ini dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Satu majlis perasmian dan pelancaran kemudahan E-Sports City Selangor akan diadakan pada awal tahun hadapan untuk dibuka kepada orang ramai.

Terdahulu, Suara Merdeka melaporkan sebuah bangunan hotel di Seksyen 13, Shah Alam akan diubahsuai bagi dijadikan pusat kemudahan E-Sports City Selangor.

Pembangunan e-sports tersebut bakal menjadi pusat sukan elektronik pertama di negara ini yang bertaraf antarabangsa.

“Malah ia juga boleh menjadi pusat e-sukan sama ada peringkat kebangsaan mahu pun peringkat antarabangsa,” katanya. – SM

(Visited 21 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button