fbpx
Sukan

Perluaskan skim pencen bekas atlet

KERAJAAN diminta memperluaskan skim pencen kepada bekas atlet yang kini hanya terhad kepada mereka mewakili negara di peringkat Olimpik.

Skim tersebut juga haruslah diberi kepada semua atlet yang pernah mewakili negara dalam apa jua temasya di peringkat antarabangsa.

Ia termasuklah temasya di peringkat Asia ataupun Asia Tenggara seperti Sukan SEA serta kejohanan dunia bagi acara sukan khusus.

Ini kerana kebanyakan atlet pernah mewakili negara, kehidupan mereka kini tidak sebaik rakan-rakan seperjuangan lain yang berjaya.

“Saya ingat perlu ada akta diperingkat persekutuan sekurang-kurangnya memberi pencen kepada mereka yang telah berjasa diperingkat kebangsaan.


“Sekarang ini yang diberi istilah pencen hanya kepada mereka yang sampai ke peringkat olimpik.

“Maknanya kalau mereka yang setakat mewakili negara ke peringkat Asia dan sebagainya tidak diberikan.

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembanguan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor. Mohd. Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi kediaman bekas atlet renang paralimpik negara, Nurul Shakina Teh Abdullah, 45, di Taman Medan Cahaya, Petaling Jaya, Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu hadir melihat aktiviti gotong royong membantu menaiktaraf kediaman bekas atlet berkenaan dalam program Ceria Atlet Selangor 2020.

Program tersebut merupakan anjuran Kerajaan Negeri yang memperuntukan RM195,350 bagi membantu 50 bekas atlet Selangor dan negara.

Nurul Shakina dahulu pernah mewakili negara di Sukan Asia 2006 namun kehidupannya kini sebagai orang kurang upaya (OKU) serba kekurangan.

Beliau yang juga ibu tunggal kini menyanyi di hadapan pusat beli belah Sogo, Kuala Lumpur untuk menyara dua anaknya berusia 15 dan 11 tahun yang masih bersekolah.

Terkilan dengan nasib bekas atlet sedemikian, Mohd. Khairuddin juga menggesa Kerajaan Persekutuan supaya meminda akta berkaitan bagi memastikan kebajikan bekas atlet terbela.

“Saya merayu kepada Kerajaan Persekutuan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mohon pertimbangkan cadangan daripada Selangor.

“Supaya wujudkan akta khusus untuk jaga kebajikan selepas mereka berkhidmat kepada negara kita.

“Mereka (bekas atlet) ini bukan dipinggirkan, tetapi tetapi mungkin kerajaan tidak ada maklumat tentang kehidupan mereka ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan penghargaan kepada organisasi bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang sebelum ini pernah membantu para bekas atlet.

“Tetapi, terima kasih kepada Yakeb (Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan) dan Persatuan Orang Buta Malaysia mereka memberi maklumat kepada kita.

“Termasuk Jabatan Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negeri Selangor, mereka memberi maklumat kepada kita.

“Kemudian, baharulah kita tahu apa yang kita perlu buat. Kalau hubungan putus antara Yakeb dengan menteri ataupun exco negeri maka maklumat tak sampai.

“Kerajaan Persekutuan dan Negeri pun tak tahu. Jadi saya ingat ini hubungan yang penting,” ujarnya.

Terdahulu, Suara Merdeka melaporkan nasib kehidupan bekas atlet Selangor dan negara, Darus Abdullah dan Fong Chein Wai yang kini terpaksa hidup bergantung kepada bantuan orang lain.

Mereka atlet angkat berat dan karate dahulu pernah mewakili negara dalam pelbagai temasya antarabangsa sekitar tahun 1980-an dan 1990-an. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Penulis merupakan antara wartawan Utusan Malaysia dan Utusan Online yang terakhir berkhidmat sebelum Utusan Melayu (M) Berhad ditutup.

Related Articles

Back to top button