Sukan

‘The Speedy Tigers’ perlu kekal momentum

DAPATKAN semula kemahiran dan teknik menjadi fokus utama skuad hoki lelaki negara, sekembalinya mereka ke padang bagi menjalani latihan buat pertama kali esok, selepas tiga bulan menjalani latihan di rumah.

Ketua jurulatih negara Roelant Oltmans berkata skuad ‘The Speedy Tigers’  perlu memanfaatkan minggu pertama latihan untuk membina permainan, termasuk kelajuan dan pengendalian bola, sebelum beraksi sepenuhnya selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Ogos depan.

Jurulatih berusia 66 tahun yakin anak buahnya berada dalam keadaan baik dari segi kecergasan, selepas menjalani program latihan lima hari seminggu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, dengan dipantau olehnya yang ketika itu berada di Belanda.

Biarpun negara seperti Belanda, Australia, New Zealand dan Jerman telah memulakan latihan lebih awal, Oltmans masih tenang dan tidak terjejas.

“Kami amat gembira dan bersemangat untuk kembali menjalani latihan, walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti penjarakan sosial, berlatih dalam kumpulan kecil dan latihan tanpa kontak. Kami tidak mempunyai kejohanan hingga November, jadi, kami mempunyai banyak masa untuk membuat persediaan.

“Kami mempunyai lebih masa untuk membina larian, kekuatan, kemahiran hingga kembali bermain dalam perlawanan. Kemungkinan selepas bulan Ogos, kami boleh menjalani latihan seperti biasa, diikuti perlawanan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Oltmans menyerahkan tugasnya buat sementara waktu kepada Mohd Amin Rahim dan Mohd Nasihin Nubli untuk mengendalikan 33 pemain yang akan melapor diri ke kem latihan di Stadium Hoki Nasional, esok.

Jurulatih yang pernah mengecapi kejayaan Piala Dunia dan Olimpik bersama Belanda, sedang menjalani kuarantin di rumah di Bukit Jalil, selepas tiba di Malaysia semalam, walaupun ujian menunjukkan beliau bebas COVID-19 selepas menjalani ujian di Belanda dan sejurus tiba di tanah air.

“Walaupun disahkan negatif selepas tiga kali menjalani ujian, kami perlu mematuhi arahan kerajaan. Saya tetap akan memantau program latihan dan video menerusi sistem,” tambahnya.

Kejohanan hoki antarabangsa yang masih berbaki dalam kalendar tahun 2020 yang bakal disertai  Speedy Tigers adalah Trofi Juara-juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada November, manakala Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh dibatalkan ekoran kebimbangan penularan COVID-19. – BERNAMA

(Visited 63 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button