BanjirNasionalNegeri

Terengganu pula dilanda banjir, PPS dibuka di Kemaman

EPISOD banjir belum menampakkan tanda-tanda berakhir. Terengganu menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kemaman pagi tadi yang menempatkan 28 mangsa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 25 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di SK Lembah Jabor manakala tiga mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih.

Menurut laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my, hanya Sungai Tebak di Jambatan Tebak di Kemaman melepasi paras bahaya iaitu 18.79m.

Di Pahang, dilaporkan paras Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan masih melebihi paras bahaya 5.94m manakala Sungai Keratong di Rompin pada 23.72m.

Di Kedah, 26 mangsa banjir ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Agama Madrasah Insaniah Jangkang yang dibuka di Kulim pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kulim memaklumkan semua mangsa daripada lapan keluarga itu ialah penduduk Kampung Padang Limau.

“Seramai 10 lelaki dewasa, tujuh wanita, enam kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan ditempatkan di PPS berkenaan selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat lebih dua jam semalam hingga menyebabkan tebing Sungai Kob runtuh.

“Setakat ini, keadaan cuaca mendung dan air sudah kembali surut. Walaupun tidak hujan, penduduk bimbang air dari Sungai Kob itu akan melimpah keluar kerana tebing sungai berkenaan pecah dan masih belum dibaiki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membuat penilaian untuk kerja-kerja baik pulih tebing sungai berkenaan.

Di Johor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 163 mangsa setakat pagi tadi berbanding 155 mangsa pada 8 malam tadi.

Ia susulan satu PPS dibuka di Sekolah Agama Pengkalan Batu, Mersing untuk menempatkan tujuh mangsa daripada satu keluarga.

Sementara itu, di daerah Batu Pahat, seramai 130 orang daripada 34 keluarga masih ditempatkan di dua PPS dan di Segamat kekal dengan 26 orang daripada sembilan keluarga yang masih ditempatkan di sebuah PPS.

JPBN juga memaklumkan keadaan cuaca di semua daerah diramalkan cerah pagi ini, kecuali Segamat yang dilaporkan hujan.

Sungai Bekok di Batu Pahat masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 19.1m serta dua sungai di Segamat berada pada paras amaran, iaitu Sungai Lenik dengan 5.68m dan Sungai Kampung Awat dengan 18.07m. – SM

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button