Mahkamah

Pengarah NSK Holdings Sdn. Bhd didenda RM340,000 ambil PTI bekerja

SEORANG pengarah syarikat yang bergelar Datuk dan bekas Senator didenda RM340,000 atau penjara 68 bulan oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka hari ini atas kesalahan membenarkan 68 pendatang tanpa izin (PTI) masuk ke dalam premisnya, Januari lepas.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Pengarah NSK Holdings Sdn. Bhd., Datuk Chiew Lian Keng mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya borong NSK Trade City beralamat No 19395, Jalan TTC 26, Taman Teknologi Cheng.

Lian Keng, 56, yang juga bekas senator dituduh membenarkan 68 pendatang tanpa izin terdiri daripada 51 lelaki warganegara India, 11 lelaki (Pakistan), tiga lelaki (Myanmar), dua lelaki (Bangladesh) dan seorang lelaki (Nepal) memasuki premisnya kira-kira pukul 4 petang, pada 22 Januari lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama, yang membawa hukuman denda RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap pendatang tanpa izin ditemukan di premis.

Ahmad Sazali dalam penghakimannya mendenda tertuduh sebanyak RM5,000 atau sebulan penjara bagi setiap pendatang tanpa izin atau keseluruhan RM340,000 atau 68 bulan penjara.

Hakim berkata, sebagai seorang pengarah syarikat tertuduh perlu mengambil tahu tentang pengambilan pekerja syarikatnya dan memastikan proses itu diurus dengan baik supaya perkara seperti ini tidak berlaku.

Beliau berkata, terdapat banyak kesan akibat pengambilan pekerja tanpa dokumen disahkan terutama melibatkan faktor kesihatan dan sebagainya.

Pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia, Nuratika Aman manakala tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh. – BERNAMA – SM

(Visited 307 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button