fbpx
Nasional

Tangguh dahulu kebenaran kedai gunting beroperasi

KEBENARAN kepada sektor tertentu untuk beroperasi semula semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga tetapi berisko untuk menyebarkan wabak Covid-19 seperti kedai gunting perlu ditangguhkan,

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia juga termasuk cadangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membenarkan pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) pulang ke kediaman masing-masing.

Dr. Noor Hisham
Dr Noor Hisham Abdullah

“Dari segi pelaksanaan penangguhan sekurang-kurangnya dua minggu, atau setidak-tidaknya untuk kita lihat dalam tempoh seminggu ini sama ada kita dapat kawal COVID-19 dalam komuniti.

“Ataupun kita mungkin bermula (membenarkan pengoperasian) berperingkat… kita tak boleh kembali terus seperti biasa… kita kena rancang dengan lebih teliti lagi untuk mengelakkan perhimpunan seperti di stadium, hentian bas (tempat awam),” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya hari ini seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.

Beliau berkata KKM akan meneliti data-data terkini kes COVID-19 sepanjang minggu pertama PKP fasa ketiga sebelum mengusulkan nasihat kepada KPT sama ada pelajar boleh dibenarkan balik ke kampung halaman atau sebaliknya.


“Begitu juga cadangan kita kepada KPT, memandangkan kita memasuki fasa yang penting iaitu fasa ketiga, kita perlu memperketatkan lagi kawalan kita untuk menurunkan kes… kita mungkin akan berjaya sekiranya rakyat Malaysia bersama-sama KKM untuk memastikan kita dapat mengurangkan kes.

“Cadangan dan nasihat kita kepada KPT supaya bersabar, mungkin dalam seminggu dua, sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu,” katanya.

BACA

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata langkah pencegahan yang dilaksanakan pada PKP fasa pertama dan kedua telah menunjukkan tanda-tanda kejayaan awal menurunkan kes.

Beliau berkata antara tindakan yang telah dilaksanakan semasa tempoh tersebut ialah kawalan sempadan, kawalan pergerakan, larangan perhimpunan dan amalan penjarakan sosial.

“Unjuran kita semakin menyakinkan, orang cakap kalau kita lari 100 meter, ini 10 meter yang terakhir yang paling penting sekali. Kalau kita lari maraton, 10 meter yang terakhir ini lah (yang menentukan) kejayaan atau tidak.

“Jadi kita kena bersabar dalam perjuangan kita, yang penting ialah penjarakan (sosial), tiada perhimpunan di tempat awam dan sentiasa cuci tangan.

“Yang paling penting kejayaan kita ialah duduk di rumah kerana lebih ramai orang tidak duduk di rumah dan keluar, kebarangkalian untuk dijangkiti akan meningkat. Konsepnya mudah, duduk di rumah dan kurangkan jangkitan,” katanya.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button