Nasional

Bantuan Wang Ihsan bencana dinaikkan dari RM500 kepada RM1,000

KADAR Bantuan Wang Ihsan (BWI) dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas ketika Monsun Timur Laut.

Kadar yang sama diberikan kepada mangsa-mangsa yang terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang
dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 September lalu.

Kadar baharu itu dijangka akan meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

“Ini antara pendekatan baharu yang diambil oleh kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada awal November 2021 sehingga penghujung Mac 2022, melibatkan negeri-negeri seperti Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemberian bantuan tersebut bukan satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh mereka.

Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berjumlah RM 18,241,250 kepada negeri Sabah ketika dalam lawatan kerja rasmi ke negeri itu hari ini.

Peruntukan tersebut bertujuan melancarkan proses menguruskan tindak balas bencana agar kebajikan rakyat yang terjejas sentiasa dipelihara.

Ia bagi perolehan 2,000 unit kit makanan (RM160,000), pembelian 2,500 unit C-Tent (RM 961,250), operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri(RM 20,000), operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana (RM1,100,000) dan pengurusan operasi COVID-19 di Sabah (RM16,000,000).

“Saya berharap sebahagian daripada peruntukan ini dapat digunakan untuk pengurusan bencana dan meringankan beban mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang, Sabah semalam. Saya turut bersimpati kepada keluarga mangsa yang terkorban,” kata Ismail Sabri.

Selain itu, peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam MTL 2021/2022 juga akan disalur menggunakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara berjumlah RM9.5 juta.

Peruntukan tersebut bagi membantu kelancaran proses dan memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.

Sementara itu Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut memutuskan pembangunan sistem eSumbangan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana.

Bantuan yang disalurkan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan sistematik.

Badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan, perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat
tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas.-SM

(Visited 192 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button