Politik

Takdir Allah alih bebanan Covid-19, dampak buruk dari PH kepada PN

BEKAS Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr, Dzulkefly Ahmad beranggapan ‘rampasan kuasa’ dari Kabinet Pakatan Harapan merupakan ‘takdir-tadbir’ Allah yang telah mengalihkan bebanan pandemik Covid-19 dan segala kesan buruknya dari bahu PH kepada Perikatan Nasional.

Pengarah Strategi Parti Amanah Negara itu berkata, beliau sebagai optimis tegar sentiasa memandang hikmah di sebalik sesuatu angkara dan musibah yang telah menimpa.

“Bayangkan bagaimana Menteri Agama PH, andainya perlu menutup masjid-surau selama hampir tiga bulan dalam era PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) Covid-19?

“Lunyai dikerjakan menteri ini, yang kebetulan, sentiasa menjadi sasaran pembangkang. Sukar mengelak maki-hamun yang dihamburkan ke arahnya, setiap kali disambung penutupan masjid-surau. Yang salahnya DAP juga gamaknya,” kata Dr. Dzulkefly

Beliau berkata, peralihan kuasa itu juga merupakan takdir Allah yang telah menyelamatkan beliau sebagai Menteri Kesihatan PH.

“Bayangkan juga, dengan 115 kematian sehingga kini, andainya Kerajaan PH terus memerintah, segala kata nista dan cemuhan jelek dipalitkan kerana kononnya, kebodohan-ketololan YBMK PH itu. AlhamdulilLah, Allah selamatkan diri ini!

“Pun begitu, padah ekonomi dan penderitaan rakyat, akibat perlaksanaan PKP bukan kepalang. Masak Menteri Kewangan dari DAP itu digulai pembangkang!” kata Dr. Dzulkefly.

Sementara itu menurut beliau, ketika ini sukar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Mahyudin Yasin untuk mampu bertahan momentum untuk mengembalikan hak dan mandat rakyat yang diberikan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU ke-14 lalu.

Jelas beliau, dalam tempoh PKP dan PKPB semakin jelas mandat rakyat yang diberikan kepada PH dalam rangka untuk dikembalikan kepada ‘pemilik sebenarnya’.

Menurut Dr. Dzulkefly, rakyat yakin Yang di-Pertuan Agong akan terus menaungi dan menjamin kelancaran perjalanan demokrasi dalam proses pemulangan mandat nanti.

Beliau berkata, demi menjaga kemurniaan perjuangan visi dan matlamat yang disepakati amat mustahak untuk PH memastikan dua jenis makhluk disaring dari bersama gagasan mereka.

“Pertama, ahli-ahli yang berhormat yang terpalit pelbagai dakwaan salahguna kuasa, pecah amanah dan sedang mendepani pelbagai tuduhan Mahkamah termasuk AMLA dan sebagainya.

“Kedua ahli-ahli yang berhormat yang jelas memiliki pegangan dan amalan doktrin pelampau perkauman dan ekstrim agama. Jelasnya ‘DNA’ ini tidak secucuk dengan perjuangan rakan-rakan kongsi PH, yang menganjurkan matlamat ‘Rahmatan lil ‘Aalamin (Rahmat Untuk Semua), bahkan berlawanan dengan konsep ‘inklusiviti’ dan ‘kemakmuran bersama’ yang disepakati muafakat politik ini,” kata Dr. Dzulkefly.-SM

(Visited 255 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button