Politik

Dulu berlakon menangis, kini Salahuddin jadi ‘pak nujum’

KETUA Bahagian UMNO Bahagian Ledang, Datuk Dr. Hamim Samuri menyifatkan Datuk Seri Salahuddin Ayub bermimpi di siang hari apabila menyuarakan keyakinan tinggi gelombang perubahan politik negara akan bermula di Johor pada ‘7.3 skala richter’.

Kata beliau, Timbalan Presiden Amanah `memang terkenal dengan janji bulan dan bintang’.

“Berlakon menangis simpati pada nelayan 2019. Sekarang 2020 berlakon pula jadi pak nujum.

“Perikatan Nasional (PN) Johor telah melangkah jauh ke hadapan. Kepentingan rakyat Johor jauh melebihi kepentingan pimpinan politik seperti Salahuddin, DAP, Pakatan Harapan (PH)…dia akan terus mengigau, dia sedang mengigau,” kata Hamim kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Melalui sesi dialog secara langsung di Facebook malam tadi, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menyatakan optimis gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.

“Saya cukup optimis. Kenapa tidak kita mulakan Johor sebagai negeri yang akan buat suatu gegaran 7.3 skala richter untuk gegarkan politik Malaysia.

“Segala-galanya boleh berlaku di Johor dan kami sekarang tengah usaha ke arah itu…tunggu dan lihat. Dari arus Selat Tebrau akan membawa perubahan besar di Putrajaya,” katanya.

Pada 14 Februari tahun lepas, dalam satu majlis yang cuba mempromosi hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS), Salahuddin yang juga menterinya telah menangis di atas pentas yang disaksikan oleh puluhan hadirin.

Dalam majlis itu telah diadakan satu acara membaca surat ‘rakyat’ daripada golongan pesawah yang diserahkan secara terus oleh Ibas Hamud, 77 kepada Salahuddin di atas pentas.

Surat itu yang kandungannya merupakan luahan rasa dan rintihan golongan pesawah seperti Ibas, dibacakan secara langsung oleh Salahuddin di hadapan khalayak.

Menariknya, pembacaan surat itu diiringi oleh bunyi seruling melankolik untuk menambahkan rasa sayu dan sedih atas penderitaan rakyat golongan bawahan seperti pesawah bernama Ibas, yang mungkin mewakili petani, peladang dan juga nelayan di seluruh negara.

Perlakuan Salahuddin itu dianggap oleh pihak tertentu sebagai satu propaganda perang saraf yang dikatakan mahu dijadikan modal untuk menarik pengundi menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih, 2 Mac tahun berkenaan.

Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi DUN tersebut apabila calonnya, Zakaria Hanafi menang selepas meraih 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya termasuk calon PH. – SM

(Visited 357 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button