Politik

Akmal tetap mahu DAP mohon maaf

PEMUDA UMNO bertegas untuk tidak menarik semula kenyataan dibuat pagi tadi yang menggesa supaya DAP memohon maaf kepada parti itu susulan segala tohmahan dilemparkan sebelum ini.

Biarpun dianggap ‘langau’ dan biadap sekalipun, Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, menyifatkan apa yang disuarakan beliau itu adalah suara yang hadir daripada keresahan akar umbi.

“Kenyataan yang kita buat pagi tadi, sama sekali kita tak akan tarik. Itu muktamad dari Pemuda. *Biarlah orang kata kita langau, kita biadap, yang penting kita tahu kita bawa suara rakyat di bawah.*

“Kita tak gentar apa yang berlaku di depan selagi kita bawa suara akar umbi UMNO ini.

“Saya nak bagi tahu, kami sayang parti kita, parti UMNO. Kalau tak sayang, kami tak cakap perkara betul. Kalau tak sayang, kami tak duduk dalam dewan ini. Kalau tak sayang, kami tak pakai sampin Pemuda UMNO,” katanya berucap pada sesi penggulungan pada perhimpunan agung sayap itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, UMNO adalah institusi yang melahirkan pemimpin muda yang berani untuk bersuara dan mempertahan setiap inci perjuangan parti, agar tidak disentuh atau digugat mana-mana pihak.

“Jadi, apabila pemuda bersuara, inilah suara akar umbi dari bawah. Pemuda di hadapan saya, jangan pernah rasa apologetik. (Apabila) keluar dari dewan kita patut berbangga sebab kita bawa suara akar umbi.

“Kebenaran itu kadang-kadang pahit, tetapi saya mahu beritahu yang pahit itu akan jadi ubat untuk mengubati.

“Ada orang kata ketum itu ubat, tetapi kalau ketum campur macam-macam dia dah tak jadi ubat,” katanya.

Dr Muhamad Akmal dalam pada itu sekali lagi menegaskan bahawa rakyat khususnya anak muda mahu melihat UMNO benar-benar berubah.

“Rakyat di luar sana benar-benar berharap untuk melihat sinar perubahan dalam UMNO dan hari ini saya boleh beri jaminan sinar perubahan itu sudah datang dari pemuda UMNO Malaysia,” katanya.

Ketika menyampaikan ucapan dasarnya pagi tadi, Muhamad Akmal menuntut permohonan maaf daripada DAP selain meminta parti itu menarik balik segala tohmahan dilemparkan terhadap UMNO yang sudah mengguris hati ahli sehingga kini.

DAP yang juga parti gabungan Pakatan Harapan (PH) kini sebahagian rakan yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama UMNO. – SM

BACA Pemuda UMNO desak DAP minta maaf secara terbuka

BACA: Tidak timbul soal DAP perlu minta maaf

(Visited 420 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button