PolitikUncategorized

Tahniah Najib, terus berjuang – Nik Abduh

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengucapkan tahniah kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan keputusan mahkamah menolak permohonan Jabatan Peguam Negara melucut hak wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 miliknya dan dan UMNO

Selain ucapan tahniah, Nik Mohamad Abduh memberikan semangat kepada Ahli Parlimen Pekan itu untuk terus berjuang mempertahankan dirinya di mahkamah atas beberapa pertuduhan yang lain.

Nik Mohamad Abdul dalam satu kenyataan meminta Najin untuk tidak kecewa dalam perjuangannya mempertahankan diri terhadap tuduhan yang dibuat ke atas beliau di mahkamah.

“Pada pagi Jumaat penuh berkat ini, saya ingin ucapkan tahniah kepada YB DSNR. Semoga Allah rahmati perjuangan Datuk Seri mempertahankan diri daripada segala pertuduhan di mahkamah.

“Jangan kecewa berjuang. Kecewa hanya untuk mereka yang melakukan kesalahan dan kekal di atasnya. Kelegaan dan kegembiraan adalah buat mereka yang bertaubat dan membaiki diri,” kata Nik Mohamad Abduh.


Beliau mendakwa, dari pemerhatian yang dilakukan terhadap ahli politik yang diheret ke mahkamah mempunyai satu persamaan iaitu mereka menentang pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Selain Najib, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengalami nasib yang sama.

“Persamaan mereka adalah melawan Tun Mahathir, lalu diheret.
Perbezaan mereka pula, pertuduhan ke atas mereka tak sama. Letih dan calar ada sama, ada juga beza. DSAI lebih teruk.

“Semoga jadi kaffarah daripada dosa. Itulah yang utama dalam setiap musibah. Muslim tidak pernah rugi selama dia yakin pada ketentuan Allah untuknya.

“Ini mahkamah dunia. Ada orang yang amat jahat tetapi tak pun dihadapkan ke mahkamah. Allah menangguhkannya sehingga akhirat. Di sana, segalanya hanyalah penyesalan kecuali dengan bekalan taubat, keinsafan, ihsan dan rahmat daripada tuhan yang maha esa. Tahniah DSN. Terus berjuang,” kata Nik Mohamad Abduh.

Semalam Jabatan Peguam Negara gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 milik Najib Razak dan UMNO yang disita dari Pavilion Residences, milik Obyu Holdings Sdn. Bhd.

Perkara itu ditentukan selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pihak pendakwaan agar wang tunai bernilai jutaan ringgit itu dilucut hak kepada kerajaan.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Muhammad Jamil berpuas hati bahawa pasukan siasatan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal membuktikan bahawa wang yang disita itu adalah hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Pada hemat beliau, salah seorang pegawai penyiasat kes, Asisten Komisioner D. Rajagopal gagal membuktikan bahawa wang yang disita mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram, hasil daripada aktiviti haram, kesalahan pecah amanah serta menerima harta curi.

Ujarnya, berdasarkan afidavit pegawai polis itu, mahkamah berpuas hati bahawa imbangan kebarangkalian kesalahan predikat di bawah Seksyen 409 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan tidak dibuktikan.

Rampasan terhadap wang tunai dan barangan dari Pavilion Residences berlaku sejurus Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.-SM

 

(Visited 360 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button