Politik

Najib ingatkan Dr. M, Shafie ‘sanggup mati’ dari serahkan kuasa

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah berlaku ketika virus Covid-19 merebak disebabkan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal “sanggup mati” daripada menyerahkan kuasa kepada mereka yang mengkhianati mandat rakyat.

AHLI Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad perkara tersebut selepas Ahli Parlimen Langkawi itu menyalahkan Perikatan Nasional berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di seluruh negara selepas PRN Sabah.

“Perlu juga dinyatakan bahawa kerajaan negeri pernah tukar tangan 5 kali selepas PRU14 iaitu Sabah pada tahun 2018 dan Johor, Melaka, Perak dan Kedah pada tahun 2020.

“Tapi sekali pun DUN tidak dibubar dan PRN diadakan dalam kelima-lima kali ini. Hanya Shafie sahaja yang bubarkan DUN untuk adakan PRN.

“Sebab itu, Shafie bukan terpaksa bubar tetapi dia sanggup mati untuk kekalkan kuasa,” kata Najib.

Najib berkata, keputusan Shafie bubar DUN juga disokong penuh oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Dalam hantaran hari ini Dr. Mahathir berkata, PRN Sabah tidak sepatutnya berlaku.

Bekas Perdana Menteri itu menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional yang didakwa cuba untuk mengambil alih Kerajaan Negeri Sabah dari Warisan Plus pimpinan Shafie melalui pintu belakang.

“Sabah sudah ada PRN pada 2018. Warisan menang dan tubuh Kerajaan. Tapi Kerajaan pintu belakang Pusat berhasrat kuasai Sabah juga melalui pintu belakang.

“Untuk elak daripada ini berlaku, Kerajaan Warisan terpaksa dibubar untuk adakan PRN.
Maka menanglah duit, kerana dia raja.

“Tapi kosnya tinggi. Bukan sahaja wang ringgit, tetapi juga serangan COVID-19. Dari Sabah berkembang ke Semenanjung,” kata Dr. Mahathir.

Pada 3 Ogos lalu media melaporkan, Shafie berkata, dia terpaksa terpaksa mengambil keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).

“Saya tahu ada kritik kita kenapa adakan pilihan raya, bimbang sangat nyawa manusia (berikutan wabak Covid-19).

“Tapi daripada kita menyerahkan kuasa kepada mereka secara itu, tidak apa bagi kita, saya sanggup mati,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pimpinan Tertinggi Warisan di Kolombong.

Pada 12 Oktober media melaporkan, bekas Ketua Menteri Sabah itu memohon maaf kepada rakyat Sabah kerana terpaksa menghadapi pilihan raya ketika penularan Covid-19 berlaku.

“Saya sedar dan tahu pada hari ini kita berhadapan dengan pilihan raya ke-16 di Sabah dan dalam kesempatan ini saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Sabah kerana berdepan pilihan raya dalam keadaan Covid-19.

“Keadaan ini juga memungkinkan kita berkempen bahkan juga mendampingi pengundi yang ada di setiap kawasan DUN dalam keadaan Covid-19 dan kemungkinan kita terjangkit dengan penyakit ini,” katanya dalam amanat khas kepada rakyat Sabah menerusi laman sosial Facebook Shafie Apdal.-SM

(Visited 328 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button