Belang BertempatPolitikPRK

PRK Chini `robohkan lagi’ Pakatan Harapan

ANALISIS

SESIAPAPUN faham sebab Pakatan Harapan (PH) atau lebih tepat lagi PKR tidak letakkan calon di Chini, Pahang 4 Julai depan.

Biarpun PKR menyebut puncanya kerana risau terhadap aspek keselamatan pengundi berikutan penularan wabak COVID-19, namun realitinya PH tidak ada kekuatan jentera di Chini.

Pandangan yang dilontarkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa “prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan berkaitan perjalanan PRK itu akan memberi kesan pada cara berkempen dan gerak kerja yang penting dalam pilihan raya” hanyalah alasan yang mahu mengukuhkan sebab-sebab `membenarkan’ tidak bertanding tersebut.

Kalaulah Chini kerusi boleh dimenangi PH dengan kedudukan peluang 50-50, PKR pasti tidak menolak letakkan calon. Bagai mengantuk disorongkan bantal. Apatah lagi presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kedudukan yang mahu membuktikan beliau adalah orang yang paling layak dicalon jawatan “PM ke-9”.

Dan kalaulah juga sebahagian besar pengundi Chini diwakili pengundi Cina , sudah tentu DAP akan beria-ia mendesak PKR bertanding.

Pada pilihan raya umum ke-14 DUN Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 4,622 selepas mendapat 10,027 undi atau 47.2 daripada jumlah keseluruhan undi.

Dalam pertembungan tiga penjuru itu, allahyarham menewaskan wakil daripada PAS, Muhd Fadhil Noor Abdul Karim, yang memperoleh 4,622 undi dan wakil PKR yang mewakili Pakatan Harapan, Mohamad Razali Ithnain, yang mendapat 1,065 undi.

Kerusi DUN itu mempunyai 21,251 pengundi terletak di bawah parlimen Pekan yang disandang oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kawasan Parlimen P085 Pekan mempunyai empat kawasan DUN iaitu N20 DUN Pulau Manis, N21 DUN Peramu Jaya, N22 DUN Bebar, dan N23 DUN Chini

Berdasarkan keputusan PRU-14 tersebut, jika dicantumkan undi BN masa itu dan undi PAS sudah menghampiri 95 peratus. Calon PKR cuma dapat dalam lingkungan lima peratus (undi).

Profil pengundi DUN Chini diwakili peneroka Felda generasi pertama dan kedua terdiri daripada kumpulan terbesar pada 82 peratus manakala golongan belia di bawah umur 40 tahun merangkumi 56 peratus.

Juga terdapat penduduk kampung tradisional dan penduduk orang asli tempatan.

Bilangan pengundi muda pula perlu diberi perhatian dengan memahami citarasa mereka bagi meraih sokongan,

Sejak PRK Port Dickson yang memihak PH menutup tirai 2018, PH memasuki 2019 dengan mengalami kekalahan kepada UMNO/BN di kesemua lima daripada enam PRK di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis , kecuali Sandakan yang dipertahankan DAP.

Daripada 10 PRK sejak PRU-14, lima kerusi berjaya dipertahankan oleh PH iaitu PRK DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong, Parlimen Port Dickson dan kerusi Parlimen Sandakan.

Tiga PRK lagi iaitu Parlimen Cameron Highlands, DUN Rantau dan terakhir 18 Januari 2020, Kimanis dipertahankan oleh BN.

Kelebihan 2-0 bagaimanapun berpihak kepada BN apabila dua lagi iaitu PRK DUN Semenyih dan Parlimen Tanjung Piai berjaya dirampas kembali oleh BN.

Jika dinilai dari perkembangan momentum 10 PRK sebelum ini yang menyaksikan BN kalah di kesemua empat PRK pada 2018 (Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson), tetapi pada 2019 dan awal 2020 tempoh hari pembangkang (BN) menang kesemua lima lagi, semasa itu amat jelas isunya adalah `ekonomi perut’ yang benar-benar didambakan rakyat.

Rakyat tempoh hari masih terus menuntut teras-teras utama janji-janji PH dalam manifesto PRU-14 yang lepas. Mereka jelak dengan `analisis-analisis’ hutang negara, projek terbengkalai dan `kes-kes naik turun mahkamah’ yang kelihatan tidak diuruskan `rule of law nya dengan baik’.

Tahun 2018, PH mahu rakyat `ikat perut’. Rakyat perlu berkorban, kata mereka.

Bantuan dipotong atau dimansuhkan. Cukai SST menyebabkan harga barang naik dengan lebih tinggi lagi.

Waktu itu pasaran saham merosot sehingga menjadi paling corot dalam dunia kerana menteri mengatakan `tak reti untuk berhenti berbohong’.
Ramai yang `terbakar’ dan rugi teruk dalam pasaran saham serta unit trust.

Pelabur-pelabur asing berterusan tarik dana mereka keluar negara.
Dividen-dividen yang dibayar oleh tabung-tabung Rakyat seperti ASN/ASB dan Tabung Haji juga jatuh kepada paling rendah dalam sejarah.

Harga sawit tidak pulih sehingga timbul jenaka `rakyat disuruh minum sesudu sehari’.

Memasuki 2019, rakyat dihidangkan dengan prestasi merosot sebahagian menteri sehingga membawa peletakan jawatan menteri pendidikan, Dr. Maszlee Malik. Janji-janji PH terus dituntut rakyat.

Waima apa pun, Pilihan Raya Kecil Chini mengukuhkan kedudukan Perikatan Nasional, khususnya Muafakat Nasional (MN).

Dan lagi robohkan PH. – SM

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close
Close