fbpx
Politik

Slogan ‘Unity’ untuk tutup kegagalan Warisan tunaikan janji – Najib

SLOGAN ‘Unity’ atau perpaduan yang digunakan oleh Warisan untuk kempen Pilihan Raya Negeri Sabah hanyalah untuk menutup kegagalan pemimpin parti itu untuk menepati janji dan kegagalan mereka membantu warga Sabah dalam krisis Covid-19.

Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, slogan itu juga digunakan untuk mengalihkan perhatian rakyat Sabah mengenai kegagalan Warisan dalam mereka menjaga ekonomi Sabah negeri itu menjadi paling corot antara semua negeri di Malaysia selama dua tahun berturut-turut.

Menurut Najib, sebelum Pilihan Raya Umum ke-19, Sabah sudahpun terkenal dengan keharmonian kaum dan semangat muhibah yang menjadi kebanggaan rakyat negeri itu.

“Adakah keharmonian dan perpaduan di Sabah bertambah baik semasa Warisan/PH memerintah Sabah dan Putrajaya selepas PRU14? Dan jika Warisan menang PRN Sabah bulan ini, adakah harmoni dan perpaduan Sabah akan bertambah baik?

“Jadi, kenapa Warisan Plus menggunakan slogan “Unity” atau perpaduan untuk kempen PRN mereka? Kenapa nak janji memberi sesuatu yang sudahpun lama wujud di Sabah?” kata Najib.


Najib mendakwa, sepanjang kempen PRN Sabah, Warisan tidak memberi fokus terhadap pencapaian pertumbuhan ekonomi serta rancangan serta hala-tuju untuk membangunkan Sabah dalam ceramah- yang diadakan.

Sebaliknya, Warisan Plus hanya mainkan sentimen “Unity” dan maruah Sabah.

“Jadi, warga Sabah perlu tanya di mana letaknya maruah Sabah apabila rata-rata janji manifesto Sabah mereka dicapatikan oleh Warisan?

“Warisan janji akan kembalikan royalti minyak 20 peratus dan 50 peratus cukai. Di mananya?

“Warisan janji 33 peratus peruntukkan pembangunan bajet tahunan kerajaan PH akan diberi kepada Sabah dan Sarawak tapi yang dapat cuma 17.1 peratus sahaja,” kata Najib.

Jelas Najib, hakikatnya ialah ‘unity’ dan keharmonian sudah lama wujud dan telah sekian lama menjadi kebanggaan rakyat Sabah.

Katanya, di sebalik permainan sentimen dan slogan ‘Unity’ serta maruah Sabah oleh Warisan, tiada apa-apa yang boleh diharapkan warga Sabah jika parti itu menang.

“Kerana Sabah sudah lama United. Perpaduan dan harmoni Sabah sudah lama wujud. Sebab itu, Rakyat Sabah tak perlu permainan slogan dan sentimen untuk alihkan perhatian dari kegagalan-kegagalan mereka.

“Yang Sabah perlu ialah sebuah kerajaan yang mampu membina hala tuju jelas bagi ekonomi dan Sabah dan mampu menyelamatkan Sabah dari status ekonomi negeri paling corot di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut,” kata Najib.

Tambah beliau, rakyat Sabah memerlukan sebuah kerajaan yang mampu bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi membantu mereka menghadapi krisis Covid-19 yang paling mengancam ketika ini.-SM

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button