Bola SepakSukan

Air mata Neymar gagal undang simpati peminat

BINTANG PSG, Neymar mengalirkan air mata di atas padang selepas pasukannya tewas dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara kepada Bayern Munich, awal pagi tadi.

Jaringan menerusi tandukan oleh Kingsley Coman pada babak kedua permainan memisahkan kedua-dua pasukan dalam aksi yang berlangsung di Lisbon itu, yang sekali gus menyaksikan pemain sayap Brazil itu mengakhiri musim ini tanpa trofi Eropah.

Kekalahan itu ternyata meremukkan hati Neymar, setelah dia mengintai peluang mendakap gelaran Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2015 ketika bersama Barcelona.

Tonggak PSG itu jelas kecewa kerana gagal membantu pasukannya merangkul kemenangan di Lisbon dan terpaksa dipujuk oleh pertahanan Bayern, David Alaba selepas wisel penamat dibunyikan.

Pengurus Bayern, Hansi Flick turut menenangkan Neymar yang sedang menangis, dan pemain itu sekali lagi mengalirkan air mata sewaktu dia menerima medal naib juara selepas perlawanan.

Neymar berusaha untuk membawa pasukannya bangkit kembali selepas jaringan pembukaan Bayern, apabila dia menyempurnakan rembatan ke pintu gol, namun percubaannya itu yang merupakan satu-satunya peluang terbaiknya gagal menemui sasaran.

Menerusi kicauannya dalam Twitter, Neymar berkata: “Kekalahan adalah sebahagian daripada sukan, kami telah mencuba segala-galanya. Terima kasih di atas sokongan dan kasih sayang anda selama ini dan tahniah kepada Bayer.”

Selepas menyaksikan bintang Brazil itu dibanjiri air mata selepas perlawanan tamat, pengguna media sosial menambah kesedihan Neymar menerusi kritikan di Twitter.

Salah seorang peminat berkata: “Neymar menangis selepas perlawanan berakhir. Dia sepatutnya cuba melakukan hantaran kepada rakan sepasukan. Satu persembahan yang teruk.”

Seorang lagi penyokong turut mengkritik persembahan bintang Brazil itu dalam perlawanan akhir menentang Bayern Munich, apabila mendakwa pemain sayap tersebut tidak mempamerkan kualiti permainan yang sewajarnya.

Seorang peminat lain menerusi Twitter berkata: “Neymar adalah pemain yang dinilai secara berlebihan di dunia pada ketika ini. Tidak dikenali sama sekali.”

Sementara itu, seorang penyokong pula berkata: “Saya tidak tahu mengapa Neymar menangis…lain kali main betul-betul.” – Daily Mail UK – SM

(Visited 227 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button