Politik

Azmin tak kejar jawatan, dahulukan kepentingan rakyat

TANGGUNGJAWAB meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai agenda utama adalah lebih penting daripada mengejar jawatan, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata tanggungjawab tersebut termasuklah mewujudkan kestabilan politik dan kerajaan, sekali gus membantu mengukuhkan ekonomi negara dan sistem perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya dan rakan-rakan mengambil satu keputusan yang besar untuk bersama-bersama memperkukuhkan Bersatu dan menjamin kestabilan kerajaan PN, pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tumpuan kita pada hari ini adalah untuk membantu rakyat yang sedang berhadapan dengan suasana yang cukup gentir akibat pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan sambutan Bulan Kebangsaan 2020 dan melancarkan Kempen Kesedaran COVID-19 peringkat kementerian di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata parti tersebut bakal membincangkan mengenai pelantikan Mohamed Azmin sebagai seorang daripada naib presiden dan ia akan dibincangkan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) kelak.

Sekiranya dilantik untuk jawatan naib presiden tersebut, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata agenda memastikan Bersatu sebagai wadah rakyat akan terus diperkukuhkan dengan komitmen yang berterusan sekali gus menjamin kestabilan politik negara.

“(Walaupun Malaysia menghadapi) ketidaktentuan politik, krisis ekonomi akibat kejatuhan menjunam harga minyak dunia, krisis kesihatan, tetapi dengan ketegasan dan kepimpinan yang ditunjukkan, Malaysia telah muncul sebagai salah sebuah negara yang telah berjaya memulihkan keadaan ini.

“Sudah tentu kestabilan politik antara perkara yang penting diberi pertimbangan (oleh para pelabur). Ini yang kita sedang lakukan dan kita telah mula melihat satu suasana yang positif. Saya yakin kalau keadaan ini berterusan, (serta) komitmen yang diberikan amat kuat, Malaysia akan kembali pulih pada 2021,” tambahnya. – BERNAMA

(Visited 97 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button