Nasional

KPDN laksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali

MENJELANG sambutan perayaan Deepavali 2023 pada 12 November ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 berkuatkuasa dari 9 November sehingga 15 November 2023.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataannya hari ini berkata, tempoh pelaksanaan adalah selama 7 hari iaitu 3 hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan 3 hari selepas perayaan.

Beliau berkata, selain daripada barang-barang di bawah harga kawalan maksimum sedia ada, Kementerian telah mengenal pasti 8 jenis barangan yang akan dikawal di bawah Skim ini.

Barangan yang terlibat di bawah Skim adalah:
i. Bawang merah besar import;
ii. Bawang merah kecil (India) tidak termasuk Ros;
iii. Cili merah;
iv. Daging kambing biri-biri bertulang import;
v. Kacang dal (Australia);
vi. Kelapa biji (*Harga maksimum di peringkat borong sahaja);
vii. Kelapa parut (*Harga maksimum di peringkat runcit sahaja); dan
viii. Tomato.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa bagi menjamin kestabilan harga kepada kedua-dua pihak sama ada di peringkat pengguna mahupun peniaga,” katanya.

Beliau berkata, senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan faktor[1]faktor luaran seperti ekonomi global.

“Penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi Kerajaan dan pemain-pemain industri.

“SHMMP Deepavali 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” ujar beliau.

Katanya lagi, harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Deepavali 2023 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my.

“Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN di seluruh negara akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga-peniaga yang tidak beretika,” katanya.

Katanya lagi, pihak Kementerian sentiasa menjalin kerjasama dengan KPKM untuk memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:
(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
(ii) Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

“KPDN meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan sebarang aduan melalui saluran WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; E-mel e [email protected]; v. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245. – SM

(Visited 63 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button