Nasionalpilihan

Program bantuan KEMAS beri manfaat 25,339 orang sejak 2016 – Mahdzir Khalid

JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperuntukkan sejumlah RM13.5 juta bagi pelaksanaan program peningkatan taraf hidup keluarga B40 di luar bandar tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program bantuan itu disediakan dalam bentuk peralatan keusahawanan dan kursus kemahiran.

“Kita mahu supaya peserta kelas yang datang belajar memasak, belajar menjahit, bersolek dan belajar seni tangan di KEMAS tidak hanya memiliki ilmu sebaliknya mereka ini kita bantu supaya mereka boleh memulakan perniagaan walaupun secara kecil-kecilan.

“Saya yakin dengan peruntukan yang disediakan ini akan dapat memberi banyak manfaat kepada masyarakat khusus di kawasan luar bandar yang berusaha untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Wacana Ilmu, Wanita Inspirasiku (WINS), anjuran KEMAS Negeri Sembilan di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Pengarah KEMAS Negeri Sembilan, Zulkefli Ahmad Nazri.

Menurut Mahdzir, Program Bantuan KEMAS yang diperkenalkan sejak tahun 2016 itu telah memberi manfaat kepada 25,339 orang.

Ianya merupakan salah satu usaha KEMAS bagi meningkatkan ekonomi masyarakat di luar bandar.

Tambah Mahdzir, golongan wanita paling ramai menerima bantuan program KEMAS iaitu berjumlah 16,637 orang.

“Mereka ini sangat bersemangat untuk berniaga walaupun KEMAS hanya membekalkan peralatan yang agak terhad seperti mesin jahit dan peralatan memasak.

“Saya difahamkan KEMAS turut mengadakan kerjasama dengan pihak Majlis Agama Islam Negeri bagi mengenalpasti golongan Asnaf yang memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.

Sementara itu, penganjuran program WINS kali ini mendapat sambutan kira-kira 400 orang peserta.

Mereka terdiri daripada peserta kelas kemahiran KEMAS dan penduduk sekitar bagi mendapatkan perkongsian ilmu dan pengalaman daripada usahawan yang berjaya dalam perniagaan.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan Berwibawa KEMAS Negeri Sembilan Tahun 2022 kepada Mardiyani Mohd Said.

Mardiyani dipilih atas kejayaannya memasarkan set peralatan penjagaan wanita sehingga menembusi pasaran peringkat antarabangsa di Amsterdam Belanda.

(Visited 428 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button