KemalanganMahkamahNasional

Mekanik mengaku tidak bersalah sebabkan kemalangan maut 4 sekeluarga

Kemalangan maut di Lebuhraya Sultan Iskandar, 27 Februari lalu

SEORANG mekanik berusia 27 tahun yang didakwa sebagai pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux memandu dengan melulu dan berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga mengakui tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Tertuduh, Aliff Asyraf Abu hadir ke mahkamah membuat pengakuan itu dalam kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar pada 27 Februari lalu, 10.30 pagi.

Aliff Asyraf dilihat hadir ke mahkamah dengan memakai pendakap leher dan badan, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut kertas pertuduhan, mekanik itu didakwa sebagai pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux memandu dengan melulu dan berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga.

Mangsa yang maut dikenali sebagai P Milan Damani, 32, isterinya, C Tinisha, 31, dan dua anak mereka iaitu Rihaan Ivaan Damani, 4, dan Ishaan Ivaan Damani, 3.

Ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Selain itu, butir sabitan diendorskan pada lesen pemandu dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Muhammad Izzat Hasizan yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya diberi ikat jamin minimum kerana memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

“Ini merupakan kali pertama tertuduh didakwa di mahkamah dan semasa kejadian dia tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 28 April depan untuk sebutan semula kes. – FMT – SM

(Visited 639 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button