Nasionalpilihan

Suasana sedih menyelubungi pengebumian Presiden PKBM

Suasana hiba dan sedih menyelubungi pengebumian Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Allahyarham Datuk Abu Samah Abd. Wahab di Tanah Perkuburan Masjid Al-Abrar, Semabok, Melaka di sini kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Upacara pengebumian dihadiri kira-kira 800 ahli keluarga Allahyarham, sanak-saudara, pemimpin sukan, atlet, penduduk dan orang ramai.

Antara yang hadir menziarah Allahyarham ialah Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang juga Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur
Azmi Ahmad; Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh, Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Ab. Aziz dan Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem.

Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa keluar dari kediamannya di Jalan Semabok dekat sini sebelum dibawa ke Masjid Al-Abrar untuk disembahyangkan.

Semalam, Abu Samah, 82, meninggal dunia di Mahkota Medical Center (MMC) kira-kira pukul 7.00 malam akibat sakit kanser prostat yang dihidapnya sejak setahun lalu.
Arwah dimasukkan ke hospital berkenaan pada Jumaat.

Allahyarham meninggalkan balu Datin Halimah Ali, 82, tujuh anak dan 19 cucu.

Sementara itu anak Allahyarham, Norazman Abu Samah, 58, berkata, ahli keluarganya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang hadir menziarah arwah
sama di rumah atau di tanah perkuburan Masjid Al-Abrar.

Katanya, dia melahirkan rasa syukur sebelum pemergian ayahnya, dia berjaya menemukan pelumba basikal lebuh raya wanita negara yang pertama kalin layak
beraksi ke Sukan Olimpik Paris 2024, Nur Aisyah Mohamad Zubir, bekas jurulatih negara, Ng Joo Ngan dan jurulatih berbasikal lebuh raya negara, Amir Mustafa.

“Bila saya lihat kesihatan ayah semakin merosot walaupun tidak tenat, saya hubungi mereka serta minta datang ke MMC untuk melawat ayah dan mereka hadir kira-kira pukul 10.00 pagi semalam.

“Arwah sempat mengeluarkan kata-kata semangat kepada Nur Aisyah dan meminta atlet itu mencipta sejarah di Paris nanti menyumbang pingat emas malah dia juga sempat
berbual dengan Amir dan Joo Ngan.

“Saya cukup terharu dan memang impian ayah saya mahu atlet lumba basikal wanita negara yang pertama kali layak ke Olimpik dapat membawa pulang pingat selepas laluan berliku ditempuh apabila dana RM1.5 juta oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” ujarnya dengan nada sebak.

Abu Samah mula menjadi Presiden bermula 26 Februari 1990 dan turut memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

Beliau melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengekalkan jawatannya di PKBM bagi penggal 2023 hingga 2026, sekali gus menerajui badan induk sukan berbasikal negara bagi penggal kesembilan berturut-turut.

Arwah turut melakar sejarah baharu dalam arena sukan tanah air apabila menerima Anugerah Merit Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) pada Mei lepas.

Dia merupakan tokoh sukan pertama di negara ini yang menerima Anugerah Merit daripada badan induk dunia – Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI); benua – Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan wilayah serantau – ACF. – SM

(Visited 73 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button