Nasional

Bantuan khas RM300 dibayar dua minggu lagi-PM Anwar

KERAJAAN menyediakan bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM200 kepada pesara Kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara KWSP, pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen, kata Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Perdana Menteri Anwar berkata, bantuan khas ini yang akan dimanfaatkan oleh 1.3 juta penjawat awam termasuk lantikan kontrak serta lebih sejuta pesara akan mula dibayar dalam tempoh dua minggu.

“Saya telah maklumkan kepada Kementerian Kewangan. Dengan pemberian permulaan ini diharap penjawat awam akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat melaksanakan pembaharuan,” katanya.

Perdana Menteri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, pagi ini.

Beliau berkata, Kerajaan terus komited untuk menyelaraskan gaji penjawat awam melihat kepada kemampuan kewangan Kerajaan.

“Maka sementara kajian gaji dan elaun diperincikan, bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 disediakan,” katanya.

Katanya lagi, Ekonomi MADANI memberi perkhidmatan terbaik sekali gus membantu ruang fiskal Kerajaan agar hasrat Kerajaan untuk merealisasikan gaji baharu perkhidmatan awam menjadi kenyataan.

Oleh itu, kata Anwar, Kerangka Ekonomi MADANI ini adalah untuk memperkasa seluruh entiti negara bermula dari Rakyat, Kerajaan, pertubuhan bukan Kerajaan dan sektor swasta.

“Kita semua perlu bertekad merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi menjayakan iltizam ini.

“Jadi, setiap kementerian mulai hari ini akan mengumumkan ikhtiar-ikhtiar yang lebih khusus bagi memperkukuh inisiatif baharu Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Anwar menekankan, usaha memperkasa ekonomi negara harus dilakukan agar rakyat lebih mandiri dalam menghadapi cabaran semasa.

“Denyut nadi dan aspirasi rakyat segenap Malaysia akan tetap menjadi perhatian Kerajaan Perpaduan ini. Ekonomi juga punya sisi budaya dan komitmen manusiawi melalui penegakan moral ekonomi.

“Ekonomi tidak dapat dibangun semata-mata dengan institusi, teknologi dan infrastruktur. Pembangunan ekonomi memerlukan dukungan the right culture atau budaya yang tepat.

“Ia memerlukan dukungan etos kerja yang kuat, nilai motivasi serta moral yang tinggi,” jelas beliau.

Tambah beliau, malah lebih daripada itu, ia memerlukan kekuatan rohaniahspiritual dalam wacana pengurusan ekonomi konvensional kerana menerusi kekuatan moral serta ruhaniah-spiritual inilah adalah pembawa barakah hasanatan fi al-dunya dan hasanatan fi al-akhirah yang diaspirasikan melalui Malaysia MADANI. – SM

BACA Ibu tunggal lega dapat bantuan Kerajaan, boleh bayar sewa rumah

BACA Bantuan kerajaan suntik kegigihan Raihanah hasilkan produk sejuk beku

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button