NasionalNegeriUncategorized

Bantuan kerajaan suntik kegigihan Raihanah hasilkan produk sejuk beku

DI mana ada kemahuan di situ ada jalan tetapi semangat gigih yang ada dalam diri seorang wanita bernama Raihanah Abdul Halim diperkuatkan lagi apabila produk sejuk beku yang dihasilkannya mendapat bantuan kewangan dari kerajaan.

Raihanah mungkin belum lagi bergelar usahawan yang mampu menjana pendapatan bernilai jutaan ringgit.

Namun semangat yang ada dalam diri ibu tunggal kepada tiga orang anak ini untuk meneroka bidang perniagaan tidak pernah bernoktah.

“Saya tidak boleh terus lemah sebaliknya kena cekal mencari jalan untuk menjana pendapatan menerusi perniagaan bagi menyara tiga orang anak yang masih kecil,” kata wanita berusia 40 kepada wartawan SUARA MERDEKA ketika ditemui di Kampung Behor Mempelam, Arau, Perlis.

Raihanah Abdul Halim gigih meneruskan kehidupan membesarkan tiga orang anaknya kerana beliau seorang ibu tunggal dan kerajaan menghulurkan bantuan dalam bentuk geran amat disyukuri.

Mengimbau kembali detik dirinya terjun ke dunia perniagaan, beliau berkata, sebaik habis berpantang selepas melahirkan anak pada awal tahun 2022, beliau memulakan usaha membuat karipap kentang “cheese” sejuk beku.

Pengalamannya sebelum ini dalam perniagaan Pau Halim, warisan arwah ayahnya yang kini dikendalikan oleh adiknya, digunapakai bagi memasarkan produk terbaharunya, karipap kentang “cheese” sejuk beku itu.

Katanya, beliau bersyukur kerana percubaannya itu tidak sia-sia kerana permintaan terhadap produk sejuk beku yang diusahakannya itu semakin hari semakin meningkat.

Dari situ, Raihanah menambah satu lagi perisa iaitu karipap kentang bolognese “cheese” yang menjadi kegemaran anaknya.

“Tidak disangka pula semakin ramai pelanggan meminati karipap kentang bolognese “cheese” ini. Alhamdulillah,” katanya.

Penghasilan produk karipap istimewa itu menurut Raihanah, dilakukan secara manual. Justeru produktivitinya terhad. Apa tah lagi, beliau mengusahakannya sendirian.

Dalam merasakan kepayahan untuk mengembangkan produk sejuk bekunya itu, Raihanah bersyukur  dan berterima kasih kerana beliau diberi geran daripada Jabatan Veterinar.

“Allahhuakbar. Gembiranya tidak terkata. Saya menerima peralatan utama seperti mesin “sealer”,  peti sejuk dan juga mesin pencanai karipap.

“Kesemua peralatan yang saya terima akan meningkatkan lagi kuntiti produk yang dihasilkan,” katanya.

Semenjak menerima peralatan tersebut, Raihanah akui semua kerja membuat karipap menjadi lebih mudah dan produk-produk yang dihasilkan juga dapat dipek dengan kemas.

Baru-baru ini, Raihanah berkata, beliau  Berjaya memperoleh geran Usahawan Muda daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Geran bernilai RM20,000 itu berupa peralatan yang diperlukan seperti mesin tekap karipap, pemotong dadu ubi kentang, dua buah peti sejuk dan mesin pembungkusan.

“Saya bersyukur dengan bantuan-bantuan atau geran yang diterima. Terus terang saya katakan, negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob banyak membantu golongan peniaga kecil seperti saya.

“Sekiranya Datuk Seri Ismail Sabri dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10, saya sokong kerana beliau adalah seorang pemimpin yang prihatin terhadap nasib rakyat seperti saya,” ujar Raihanah.

Katanya lagi, semua bantuan dan geran yang diterima sangat membantu kerana peniaga seperti dirinya berhadapan dengan masalah modal.

“Tanpa bantuan dan geran, mungkin sehingga hari inn, saya masih menghasilkan karipap secara manual dan itu semestinya mengehadkan pengeluaran.

“Sekarang, semuanya berubah. Dengan bantuan ini bukan sahaja saya menghasilkan produk karipap sejuk beku malahan penghasilan saya turut dikembangkan.

“Kini saya hasilkan beberapa jenis produk lain seperti donut, kuih kasturi, burger Malaysia dan sardin roll,” katanya sambil tersenyum puas..

Ditanya apakah perancangan yang akan dilakukannya dalam masa terdekat ini?

Jawab Raihanah, “antara perancangan masa terdekat ini, saya ingin membuka kiosk di beberapa pasar raya di Perlis untuk memasarkan produk sedia digoreng dan sejuk beku.”

Selari dengan pendekatan menjual makanan atau produk yang menggunakan perkhidmatan penghantaran pantas, Raihanah berkata, beliau juga menyediakan set Food Panda dan Grab Food secara ala carte atau pek kotak yang setakat ini mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan.

Dapat menarik nafas lega, Raihanah hari ini dibantu oleh empat pekerja yang mana dua daripada pekerja beliau ialah pelajar internship dari Kolej Komuniti.

“Saya kini juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Mungkin pekerja saya tidak ramai tetapi sekurang-kurangnya, di situ ada peningkatan selain meringankan beban kerja,” ujar beliau.

Selangkah bergelar usahawan, Raihanah juga menumpukan kepada pemasaran memandangkan perniagaannya setakat ini beroperasi di rumah.

Beliau berharap perniagaan pelbagai jenis kuih atas jenama “RaiRich” yang dihasilkannya itu mampu berkembang dengan lebih meluas lagi sebagai tanda bantuan kerajaan tidak pernah dipersia-siakan sebaliknya sebagai pemacu dan pembakar semangatnya untuk terus berjaya dalam dunia perniagaan. – SM

(Visited 285 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button