Politik

Syed Saddiq pertikai pelantikan Shahidan sebagai Pengerusi PR1MA

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertikai kelayakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim telah dilantik sebagai pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berkuat kuasa serta-merta, semalam.

“Saya kurang pasti apakah kelayakan dan latar belakang beliau dalam hal perumahan.

“Saya juga hairan mengapa kerajaan suka memberi dan melantik Ahli Parlimen jawatan dan pangkat dalam hal komersial, agensi kerajaan, GLC walhal banyak lagi orang muda yang bijak pandai menguruskannya,” katanya.

Dalam hal perumahan juga, kata beliau, ramai lagi orang muda yang perlu diangkat dan diambil memegang jawatan ini.

Ujar beliau, hala tuju kerajaan dalam memberi jawatan GLC, syarikat kepada Ahli Parlimen tak perlulah diteruskan.

“Buka Parlimen dan bagi Ahli-Ahli Parlimen bertugas. Itulah tugas hakiki semua Ahli Parlimen yang rakyat mahu tengok, bukan jaga GLC dan syarikat-syarikat,” kata Syed Saddiq.

Pelantikan Shahidan diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin pada satu sidang media semalam.

Zuraida berkata pengalaman lima penggal sebagai wakil rakyat dan dalam tadbir urus yang ada pada Shahidan amat diperlukan untuk melonjakkan prestasi PR1MA.

“Pengalaman beliau sebagai menteri besar Perlis dan pernah bertugas sebagai menteri di jabatan perdana menteri, jadi ini adalah tempat yang betul untuk beliau menjadikan misi bagi menyediakan kediaman mampu milik di negara ini,” katanya ketika mengadakan lawatan di ibu pejabat PR1MA di Kuala Lumpur.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Shahidan sebagai pengerusi Perbadanan Perumahan Malaysia.

Perbadanan itu ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai entiti yang akan menyelaraskan kesemua agensi pembangunan perumahan dalam merancang pembinaan dan menyediakan pelan kewangan bagi Rumah Mampu Milik (RMM).

Pelantikan Shahidan sebagai pengerusi PR1MA bagi menggantikan Tan Sri Eddy Chen yang memegang jawatan tersebut pada 2018.

Sebelum ini Shahidan dilaporkan tetap meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) hingga Pilihan Raya Ke-15 di Perlis, walaupun UMNO Pusat telah memutuskan kerjasama itu hanya sehingga Parlimen dibubar.

Shahidan berkata, keputusan itu dibuat kerana UMNO tidak mahu Perlis menjadi negeri pembangkang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan pendirian UMNO berhubung kerjasama dengan PN setelah majoriti bahagian parti itu menolak kerjasama dengan parti Bersatu yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bersatu merupakan parti serpihan UMNO bagaimanapun telah membentuk pakatan PN bersama-sama Pas.

 

(Visited 407 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button