BeritaPolitikPRK

Senyum Kambing pun jadi mangsa kempen pilihan raya

Senyum Palsu Seperti Kambing Harga Dua Kupang

APA khabar mantan pembaca Utusan Malaysia? Masih ingat dengan SENYUM KAMBING? Hebatnya sentuhan Senyum Kambing yang saban hari menemui pembaca pada halaman hadapan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Senyum terakhir Kambing pada 9 Oktober 2019 yang lalu. Senyum kambing membawa maksud senyum yang dibuat-buat untuk mengejek atau menyindir. Ruangan ini adalah dialog dua pihak. Dialog yang ringkas dan padat.

Sukar juga untuk menghasilkan dialog yang benar-benar menyindir dan menyengat dan pada masa yang sama boleh mencuit hati pembaca. Penampilan atau watak juga perlu dijaga termasuk pakaian dan wajahnya mengikut kesesuaian dialog. Pelukis perlu bijak menyesuaikan keadaan, tidak hanya potong dan tampal keluaran terdahulu. Kadang-kadang ada yang mengkritik sekiranya sindiran itu ‘tidak menjadi’ atau menyentuh sensitiviti pihak tertentu.

Popularitinya menyebabkan banyak pihak menciplak ruangan ini dengan pelbagai tujuan. Sama ada menggunakan nama lain tetapi wataknya sama atau hampir sama. Menumpang populariti. Senyum Kambing palsu muncul semasa hayat Utusan Malaysia masih ada. Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini biasanya akan menyusun dialog yang mereka hasratkan untuk menyampaikan mesej secara ringkas. Kadang-kadang mereka ‘tibai’ Utusan Malaysia melalui Senyum Kambing palsu ini.

Kenapa mereka tidak mampu mencipta sesuatu yang lain atau watak yang lain? Kenapa mereka ‘memalsukannya’ sehingga seolah-olah itu adalah karya Utusan?
Jika tidak ada idea baru, bolehlah cari para pelukis atau kartunis yang pernah bersama Utusan sebelum ini. Mereka mampu mencipta sesuatu untuk dijadikan bahan gurauan bagi mana-mana penulis atau pihak tertentu.

Namun kerana namanya yang sudah popular, maka pihak berkenaan tidak ada pilihan. Tidak dinafikan sejak dahulu lagi ada pihak yang menggunakan Senyum Kambing ini dengan dialog-dialog mereka sendiri. Bagaimanapun bagi kebanyakan orang tahu yang mana asli dan yang mana palsu. Mereka tahu ‘kecacatan’ Senyum Kambing tiruan itu. Antaranya termasuk teks yang digunakan , warna serta tajuk walaupun karikaturnya atau aktornya sama.

Sehingga sekarang pun masih banyak Senyum Kambing yang pura-pura senyum muncul. Macam-macam dialog boleh dibaca yang jelas jauh melencong sekiranya Senyum Kambing sebenar masih wujud pada hari ini. Senyum Kambing tiruan boleh juga diibaratkan Seperti kambing harga dua kupang. Contohnya isu berkait tokoh sambutan Maulidur Rasul. Faktanya salah.

Tidak pasti adakah Senyum Kambing akan kekal apabila Utusan Malaysia khabarnya akan menemui pembaca semula pada awal tahun depan. Adakah watak kambing akan terus membuat orang terasa dan tersenyum atau marah? Atau kambing akan dikorbankan bagi menampilkan imej baharu sesuai dengan ‘gembalanya’ yang baharu.

Apa pun, kita nantikan kelahiran semula Utusan Malaysia. Adakah kambing akan senyum simpul, senyum sumbing, senyum tawar, senyum-senyum siput atau bertukar menjadi senyum kucing!

Artikel dipetik dari facebook Datuk Hasan Mohd Nor

(Visited 566 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button