fbpx


Politik

Tukar Speaker Dewan Rakyat keputusan berprinsip – Wan Ahmad

TINDAKAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menfailkan usul di parlimen untuk menamatkan lantikan Yang Dipertua (speaker) Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusoff dan timbalan speaker, Nga Kor Ming adalah satu keputusan yang berprinsip, tepat dan perlu.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ia suatu keputusan berprinsip kerana kebiasaannya mengikut konvensyen dalam peraturan berparlimen, setiap kerajaan baharu yang sah di sisi perlembagaan berhak untuk mencadangkan kepada Mesyuarat Dewan Rakyat seorang calon untuk mengisi jawatan speaker yang baharu.

“Ini adalah wajar dan perlu demi kelancaran perjalanan urusan Dewan Rakyat tanpa syak wasangka gangguan sentimen politik di pihak kerusi yang mempengerusikan apa-apa mesyuarat akan datang.

“Bagi kerajaan yang baharu, langkah ini tepat dan perlu untuk menjamin kelangsungan perancangan dasar-dasar baharu serta kebaikan masa depan perjalanan penerintahan sesebuah negara.


“Mohamad Ariff adalah speaker yang dipilih khas atas perkiraan sentimen politik oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang sekarang merupakan kumpulan pihak pembangkang di Dewan Rakyat.

“Oleh yang demikian bagi tujuan memastikan tidak berbangkit isu oleh pihak kerajaan bahawa apa-apa keputusan speaker nanti boleh dianggap berpihak atau dipengaruhi sentimen politik, justeru perkara yang terbaik ialah untuk menukarkan speaker,” kata Wan Ahmad dalam facebook miliknya hari ini.

Wan Ahmad berkata, seorang speaker yang baharu akan membantu meningkatkan keyakinan ahli-ahli Mesyuarat Dewan Rakyat tentang keadilan pengerusi dalam membuat keputusan atas sebarang perkara atau perbahasan yang berbangkit.

Kata beliau: “Mesyuarat dan perbahasan di dalam Dewan Rakyat nanti akan lebih baik jika diuruskan di bawah pengawasan seorang speaker yang baharu.

“Lagipun semua Ahli Dewan tidak wajar mempertikaikan sesiapa yg akan dilantik selepas ini sebagai pengganti speaker dan timbalan speaker kerana pelantikan mereka nanti diluluskan oleh undi majoriti Ahli Dewan melalui suatu Sidang Parlimen rasmi yang sah di sisi undang-undang.”-SM

Show More

Related Articles

Back to top button