MahkamahNasional

Sumbangan RM6 juta bukan untuk lulus kontrak -Zahid

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu sumbangan politik boleh dimasukkan ke dalam akaun peribadi ahli politik atau mana-mana pemegang amanah, kata Presiden UMNO yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Zahid berkata, beliau tidak memasukkan sumbangan politik berjumlah RM6 juta yang diterima daripada pembekal cip pasport Datasonic Group Bhd ke dalam akaunnya sendiri.

“Wang itu dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co,” kata Zahid ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

Firma guaman itu ialah pemegang amanah Yayasan Akalbudi, sebuah yayasan kebajikan yang diasaskan Zahid.

Abdul Malik bertanya kepada Zahid mengapa dia tidak memasukkan wang itu ke dalam akaun Umno atau Barisan Nasional (BN) memandangkan dia memegang jawatan dalam parti dan gabungan itu.

Zahid berkata, sebagai ahli politik di peringkat kebangsaan, dia memerlukan dana untuk kawasan Parlimennya dan kawasan lain bagi menjalankan kegiatan kebajikan membantu golongan miskin dan yang memerlukan.

“Untuk menjalankan kegiatan seperti itu, saya tidak memasukkan sumbangan politik ke dalam akaun peribadi saya,” katanya.

Malik: Adakah kamu serahkan wang itu kepada UMNO atau BN?

Zahid: Tidak.

Malik: Bolehkah ahli politik terima sumbangan, atau (hanya) UMNO atau BN (boleh)?

Zahid: Ahli politik boleh terima sumbangan dan (wang) boleh diletakkan dalam akaun peribadi mereka atau dalam akaun pemegang amanah.

Malik: Saya mencadangkan bahawa wang yang kamu terima, RM6 juta daripada Datasonic, adalah untuk meluluskan kontrak.

Zahid: Saya tidak bersetuju.

Zahid sedang dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa dia menjadi menteri dalam negeri.

Dua belas tuduhan adalah untuk CBT, lapan rasuah dan 27 lagi adalah untuk pengubahan wang haram.

Bagi tuduhan berkaitan pembekalan cip pasport, dia didakwa menerima RM6 juta daripada Pengarah Datasonic Group Chew Ben Ben pada 26 April 2017.

Dalam pembelaannya pada 27 Mei, Zahid memberitahu mahkamah, sebagai menteri dalam negeri, dia tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kontrak melalui rundingan terus. Hanya Kementerian Kewangan boleh berbuat demikian, katanya.

Zahid berkata, dia merancang untuk membina sebuah sekolah agama di kawasannya, Bagan Datuk.

Bagaimanapun, katanya, akaun Yayasan Akalbudi dibekukan oleh pihak berkuasa dan kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan kerana kontraktor tidak dibayar.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – FMT – SM

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button