Nasional

MAPPIM, GAPENA, ISMA failkan rayuan isu keabsahan sekolah vernakular di sisi Perlembagaan

TIGA badan-badan bukan kerajaan telah mengarahkan pihak peguam masing-masing untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan, bagi mencabar keabsahan sekolah-sekolah vernakular kerana membelakangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Rayuan tersebut dilakukan berikutan keputusan Mahkamah tinggi yang memutuskan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT)di seluruh Malaysia adalah sah di sisi Perlembagaan, 29 Disember lalu.

Rayuan-rayuan tersebut telah difailkan masing-masing pada 25, 26 dan 27 Januari.

Tiga badan-badan bukan kerajaan yang menjadi perayu adalah Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), yang diwakili oleh Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil dan Tetuan Hariz Syakinah & Co, serta pasukan ini akan diketuai oleh peguam kanan Tuan Haji Haniff Khatri.

Alasan utama Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa SJKC dan SJKT adalah sah, ialah kerana Mahkamah berpendapat bahawa kedua-dua entiti tersebut bukan “pihak berkuasa awam” dan urusannya bukan urusan rasmi.


Oleh itu, tidak berkewajipan di sisi Perlembagaan untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Justeru itu, peguamcara yang mewakili 3 badan bukan kerajaan tersebut berkata rayuan di Mahkamah Rayuan nanti akan mencabar dapatan di Mahkamah Tinggi tersebut, serta diharapkan akan dapat menentukan persoalan undang-undang sama ada SJKC dan SJKT yang ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan dan mendapat dana serta sumber-sumber awam, adalah sebenarnya badan awam ataupun tidak (selain dari isu-isu perundangan dan perlembagaan lainnya).

“Kami juga telah diarahkan untuk menegaskan bahawa ketiga-tiga badan bukan kerajaan yang memfailkan rayuan, MAPPIM, GAPENA dan ISMA menyokong segala usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga, sama ada bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan, atau mana-mana sahaja bahasa lain di dunia termasuk Jepun, Korea, dan lain-lain melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa tersebut sebagai satu mata pelajaran.

“Tetapi menolak mana-mana bahasa asing tersebut daripada dijadikan bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam, kerana hal tersebut akan bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi,” kata penguamcara itu.

Mereka turut berharap  rayuan tersebut akan dapat memperjelas kedudukan isu perlembagaan, dan tidak dijadikan sebagai isu perkauman oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjaweab. -SM

(Visited 53 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button