Sukan

Sukan Olimpik 2020: MOM lega IOC cari pelan alternatif

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyifatkan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), untuk mencari pelan alternatif seperti menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo 2020, susulan pandemik COVID-19 sebagai satu langkah yang wajar.

Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, penangguhan temasya sukan itu yang dijadual dari 24 Julai hingga 9 Ogos depan, adalah tindakan yang seharusnya dilakukan sekiranya ancaman wabak COVID-19 tidak pulih, dalam beberapa minggu akan datang.

Katanya MOM menerima surat daripada Presiden IOC Thomas Bach, bahawa badan induk dunia itu sedang mendapatkan pandangan daripada pihak pemegang taruh, mengenai pelan alternatif dalam penganjuran Sukan Olimpik 2020, dan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh empat minggu akan datang.

“Sebelum ini, kita bersetuju Sukan Olimpik diteruskan mengikut tarikh asal, jika keselamatan dan kesihatan atlet terjamin, selain kerisauan mengenai sistem kelayakan. Sekarang kita boleh berasa lega kerana IOC buka peluang kepada pelan alternatif (berhubung penganjuran Sukan Olimpik 2020).

“Ini keputusan yang bagus (pelan alternatif). Sebagai negara kecil yang hanya mempunyai 12 atlet yang telah melayakkan diri setakat ini, kita akan teliti segala keputusan IOC dan persekutuan sukan antarabangsa (international sports federations).

“Sebagai ahli gabungan IOC, kita akan maklumkan kepada semua atlet dan pihak terlibat, seperti Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara, jika ada sebarang keputusan lanjut dalam perkara itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, IOC menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, pihak berkuasa Jepun dan Kerajaan Metropolitan Tokyo, mengenai Sukan Olimpik 2020, dan menambah pembatalan temasya sukan itu bukan agenda mereka pada masa ini.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pula berkata, penangguhan Sukan Olimpik mungkin tidak dapat dielakkan jika pandemik COVID-19 berlarutan, sehingga mengancam keselamatan atlet dan pegawai.

Beberapa atlet dan badan-badan sukan dunia sebelum ini menggesa IOC dan pihak penganjur, untuk menangguhkan temasya sukan terbesar dunia itu, manakala Kanada pula membuat keputusan untuk tidak menyertai Sukan Olimpik kali ini, berikutan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Norza, yang juga anggota Jawatankuasa Pemandu Road To Tokyo, turut menasihatkan atlet negara supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 hingga 31 Mac ini.

“Pada masa ini, kepentingan negara melebihi kepentingan individu. Semua atlet harus akur dengan PKP. Kita perlu menunggu arahan selanjutnya daripada kerajaan mengenai PKP, sebelum memutuskan tindakan selanjutnya,” kata beliau. – BERNAMA

Tags

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button
Close
Close