Sukan

Olimpik tangguh: Ruang rancang semula program latihan atlet

PENANGGUHAN Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke Julai 2021 akibat pandemik COVID-19, memberi ruang kepada pemegang kepentingan yang terlibat bagi memastikan pencapaian yang cemerlang buat kontinjen negara.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kini mempunyai ruang untuk merancang semula Program Latihan Atlet.

Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) telah mengadakan Bengkel Perancangan Program Latihan 2020-2022, baru-baru ini.

“Ia bertujuan untuk merancang dan menyusun semula kitaran program latihan setiap atlet yang terlibat dari aspek kecergasan fizikal, ketahanan mental, keperluan nutrisi dan pengurusan kecederaan khususnya bagi atlet-atlet itu untuk mencapai kemuncak prestasi mereka di Tokyo nanti.

Program penjangkalaan latihan terbahagi kepada beberapa kitaran mikro, ‘meso’ dan makro bagi membolehkan atlet mencapai ‘kemuncak prestasi  pada waktu yang diperlukan,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selepas 12 atlet layak ke Olimpik dan 14 atlet berjaya menempah tiket ke Paralimpik, Reezal Merican berkata KBS telah merancang program-program khusus bagi memastikan beberapa atlet lagi dapat melayakkan diri, dengan 36 atlet negara termasuk 13 atlet para masih bekerja keras untuk melayakkan diri.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, ia termasuk pemenang pingat perak acara beregu campuran Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, juara dunia acara terjun 10m platform individu dan pemenang pingat perak 10m platform seirama wanita di Rio, Cheong Jun Hoong.

“Kementerian membuka peluang penyertaan pertandingan lebih banyak bagi memperkukuh ranking pemain golf nombor satu negara, Gavin Kyle Green; mengembalikan prestasi penerjun negara seperti Jun Hoong dan meningkatkan intensiti latihan bekas pemenang pingat emas acara 3m papan anjal lelaki Sukan Komanwel 2014, Ooi Tze Liang, untuk kembali kepada prestasi sebenar beliau.

“Kejohanan Terjun Dunia pada Februari 2021, yang merupakan kejohanan kelayakan terakhir ke Olimpik, menjadi tumpuan buat penerjun yang berusaha melayakkan diri ke Tokyo. Program khusus juga dilaksanakan untuk pemain badminton dan karate apabila sukan tempur itu bakal membuat penampilan pertama di Olimpik,” katanya.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata kerajaan juga menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa untuk memberi kelebihan kepada atlet negara meraih mata kelayakan berharga jika situasi mengizinkan, dengan usaha memerangi wabak COVID-19 menjadi keutamaan.

Sementara itu, Reezal berkata mengambil kira sektor sukan yang terkesan akibat pandemik COVID-19, KBS membentangkan kertas cadangan khas bagi merangsang pembangunan industri sukan kepada Kementerian  Kewangan pada 27 Mei lepas untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2021.

“Antara perkara yang disentuh ialah skim kemudahan pinjaman kewangan yang lebih fleksibel atau dengan kadar faedah rendah kepada pengusaha industri sukan seperti akademi atau jurulatih sukan, perniagaan barangan atau perkhidmatan sukan, operator fasiliti, syarikat pengurus acara, dan pemberi perkhidmatan teknikal,” katanya.- BERNAMA

(Visited 158 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button