Bola SepakLuar NegaraSukan

Suami terpaksa bantu Wozniacki bangkit dari katil akibat artritis

Penyakit dihidapi bekas ratu tenis itu menjadi punca dia bersara awal

CAROLINE Wozniacki mendedahkan semua keperitan yang terpaksa ditanggungnya sebagai penghidap penyakit arthritis yang melemahkan sendinya sehingga memaksa bekas pemain tenis No. 1 dunia itu bersara seawal usia 29 tahun.
Ratu tenis Denmark itu mengumumkan pengakhiran kariernya selepas tewas pada pusingan ketiga kejuaraan Grand Slam Terbuka Australia, Januari tahun lalu.
Dia sebelum ini pernah berkata, keputusannya meninggalkan sukan tenis adalah disebabkan untuk mengejar minat di luar sukan tersebut, tetapi mengakui dia sebenarnya terpaksa menanggung derita pada hari-hari terakhir kariernya.
Malah, Wozniacki turut mendedahkan secara terperinci bagaimana suaminya yang juga merupakan bekas bintang NBA (Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan), David Lee terpaksa menariknya untuk bangun daripada katil.
“Saya berada di kemuncak karier pada 2018 sewaktu saya di diagnosis dengan penyakit artritis reumatoid.
“Saya telah menjuarai Terbuka Australia pada awal tahun berkenaan. Ia sepatutnya menjadi tahun keemasan buat saya.
“Ketika membuat persediaan untuk Terbuka Amerika Syarikat, saya tiba-tiba berasa kesakitan pada bahagian sendi, sering letih dan simptom lain tidak dapat dijelaskan. Saya tewas dalam perlawanan yang sepatutnya saya menang.
“Saya tidak mampu mengangkat tangan saya, dan bahu, siku, tangan serta kaki saya berasa sangat sakit. Saya berdepan kesukaran untuk menyikat rambut sendiri dan bangun daripada katil.
“Satu hari, saya bangun dengan kesakitan yang sangat teruk sehingga memaksa suami menarik saya bangkit daripada katil. Saya tidak mampu untuk menggerakkan tubuh sendiri.
“Saya dengan segera telah mendapatkan rawatan dan dari situ permulaan perjalanan saya untuk diagnosis,” kata Wozniacki, 30, kepada Bild.
Wozniacki, yang memenangi 30 gelaran sepanjang kariernya mendedahkan, doktor pakar terpaksa mengambil masa yang agak lama sebelum mengesahkan diagnosis mereka.
“Sepanjang penantian selama beberapa bulan sebelum doktor mendapat jawapan mengapa saya tidak sihat, saya amat gementar.
“Salah satu sebab mengapa saya menjadi begitu berminat untuk membantu wanita yang menghidap penyakit keradangan kronik ialah disebabkan walaupun sebagai atlet elit dengan akses langsung kepada bantuan perubatan pada kejohanan yang saya sertai, saya masih mengalami kesukaran luar biasa untuk mendapatkan diagnosis yang betul,” ujarnya.
Wozniacki kini menikmati detik gembira selepas bersara dan dia dilihat bercuti di Itali pada Ogos lalu.
Pada awal musim panas lepas, dia berjaya mencairkan hati peminatnya di Instagram bergambar dengan mengayakan sepasang bikini.
Wozniacki pernah bertunang dengan bintang golf, Rory McIlroy. Bagaimanapun, mereka berpisah pada 2014 selepas tiga tahun menjalin hubungan. – The Sun – SM

 

(Visited 112 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button