Nasional

SOP baharu, SOP lama, apa guna kalau tiada kesedaran

ANALISIS

MAMPUKAH pihak berkuasa mengawal jumlah pengunjung ke pantai Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang kepada 1,000 orang dalam satu-satu masa?

Lontaran itu adalah untuk memastikan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) terutamanya penjarakan sosial dan juga pemakaian pelitup muka (face mask) apabila berada di tempat awam.

Minggu lepas, tular di media sosial tentang pasangan yang naik ke Bukit Bendera, Pulau Pinang yang memakai gelang berwarna pink.

DALAM koc train naik Bukit Bendera.

Pasangan itu mungkin merasa bangga kerana tindakan berani naik ke Bukit Bendera, tempat tumpuan pelancong tempatan sedangkan diri sendiri tahu, perlu duduk di rumah menjalani tempoh kuarantin. Bukannya bersiar-siar dan berjalan-jalan dengan diri membawa virus Covid-19.

Mematuhi SOP sebenarnya terletak dalam diri kita sendiri. Tidak perlu ditegur atau dipantau rapi oleh pihak berkuasa jika dalam diri, ada kesedaran.

Cerita minggu lepas, ketika menaiki trem atau train Bukit Bendera, kakitangan Bukit Bendera tidak mematuhi SOP. Sumbat sesendat yang boleh penumpang di dalam koc. Tiada penjarakan sosial.

Selagi boleh muat, selagi itu kakitangan pengurusan trem Bukit Bendera menyuruh orang ramai masuk ke dalam koc.

Bersendat umpama ikan sardin dalam tin. Bersesak umpama naik bas mini tahun 1980-an. Mana ada SOP di sini?

Dua remaja lelaki masuk ke dalam koc dengan memakai pelitup muka di bahagian bawah dagu. Hebat! Ditegur oleh penumpang lain yang sama-sama berada dalam koc agar kedua-dua remaja lelaki itu memakai pelitup muka dengan betul.

Tahu apa jawapan dua remaja ini memakai pelitup muka di bawah dagu? “Tidak selesa.”

Apabila dipaksa oleh penumpang yang menegur dua remaja lelaki berkenaan agar memakai betul-betul pelitup muka, dengan menarik muka 14, pelitup muka dinaikkan.

Kedegilan dua remaja yang naik ke Bukit Bendera bersama keluarga, kalau tidak ditegur (secara baik dan berhemah) akan mengambil kesempatan dengan beranggapan, TIDAK MENGAPA KALAU PAKAI PELITUP MUKA DI BAWAH DAGU.

Seolah-olah tidak pernah menonton televisyen setiap hari, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memberi peringatan agar mematuhi SOP, pakai pelitup muka, jaga penjarakan dan guna hand sanitizer atau basuh tangan dengan sabun.

Begitu juga dengan sidang akhbar harian Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen dengan pesanan yang sama iaitu patuhi SOP.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bagi pesanan yang sama tetapi mengapa ada segelintir rakyat Malaysia degil dan keras kepala?

Kalau yang lain-lain mengikut SOP, sementara yang lain pula senang-senang melanggar SOP, itulah munculnya kluster itu dan ini…Kluster Sivagangga, kluster yang merebak dengan pantas Covid-19.

Tempoh duduk di rumah selama lebih tiga bulan sudah lebih daripada mencukupi. Pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) telahpun dilaksanakan oleh kerajaan.

Bahkan dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19, kerajaan dan agensi-agensinya bertungkus lumus, bergerak memantau dan mengawal. Itu termasuk barisan hadapan yang bekerja tanpa henti.

Jadi, apabila ada sedikit kelonggaran, patuhilah SOP sedia ada sambil ingat mengingatkan antara satu sama lain. Kalau kena lockdown, habuk pun tarak!

Siapakah yang akan membantu pihak polis untuk memastikan jumlah pengunjung di pantai Teluk Cempedak dihadkan kepada 1,000 orang pada satu-satu masa ketika hujung minggu?

Apakah pihak pengurusan trem Bukit Bendera akan mematuhi SOP ketika membenarkan penumpang masuk ke dalam koc?

Kalau mengikut kata Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali, pelaksanaan SOP baharu itu bermula dari pukul 10 pagi hingga pukul 10 malam pada Jumaat hingga Ahad, dengan pengunjung diwajibkan mengambil kad pengunjung di tiga laluan masuk.

“Tiada had masa ditetapkan kepada setiap pengunjung, namun jika jumlah pengunjung sudah mencapai had ditetapkan, kita akan melencongkan kenderaan yang ingin masuk Teluk Cempedak ke tempat lain melainkan bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan pandu lalu restoran segera di situ.

“Pekerja, penjaja dan pekedai di Teluk Cempedak tidak perlu mengambil kad pengunjung, namun diwajibkan menunjukkan kad pekerja atau pengesahan kepada petugas yang berada di laluan masuk,” katanya.

Tiga laluan masuk yang dibenarkan ke Teluk Cempedak ialah melalui kawasan letak kenderaan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), kawasan letak kenderaan pihak swasta dan laluan antara dua restoran segera McDonalds dan KFC di situ.

Pengunjung diwajibkan mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual, menjalani pemeriksaan suhu, memakai pelitup muka serta wajib menjaga penjarakan fizikal semasa berada di sekitar pantai itu.

Bagi memastikan pelaksanaan SOP berjalan lancar, Mohamad Noor berkata polis bersama MPK, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan ditempatkan di laluan masuk dan sekitar Teluk Cempedak.

Tindakan itu dibuat susulan pemeriksaan polis di pantai itu Sabtu lalu yang mendapati jumlah pengunjung mencecah sehingga 2,000 orang mengakibatkan pantai sesak. – SM

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button