Nasional

Kemampuan Jimmy Puah di Parlimen dipertikai PN Johor

PERIKATAN Nasional (PN) Johor kecewa dengan sikap Ahli Parlimen Tebrau yang membazirkan masa persidangan di Dewan Rakyat kerana sekadar mampu mengemukakan soalan remeh, dangkal dan tidak memberi manfaat kepada rakyat mahupun kerajaan.

YB Jimmy Puah Wee Tse mewakili kawasan Parlimen yang pesat membangun dan padat penduduk sepatutnya fokus memperjuangkan soal infrastruktur, kemudahan awam, isu perumahan mampu milik serta perkara lain yang memberi manfaat rakyat di sana serta menyumbang kepada pembangunan negeri.

Sebaliknya, soalan Jimmy Puah yang bertegas mahu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya supaya bak kut teh (gulai daging babi) diangkat menjadi makanan kebangsaan telah menunjukkan kedangkalan akal fikiran beliau dalam memahami definasi ‘kebangsaan’ serta sensitiviti orang ramai.

‘Kebangsaan’ adalah bermaksud sesuatu yang berkaitan dengan negara secara keseluruhan. Dalam konteks soalan beliau, hidangan bak kut teh tidak dimakan oleh seluruh rakyat negara ini. Beliau tidak boleh menyamakan nasi lemak, roti canai serta char kuey teow yang sekian lama dinikmati secara harmoni dan halal oleh rakyat Malaysia.

Sebagai pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jimmy Puah tidak mendokong sikap, pemikiran dan keperibadian yang mencerminkan slogan perpaduan serta progresif yang dikatakan sedang dilaungkan Kerajaan Persekutuan sekarang.

Justeru, PN Johor menasihati beliau selaku pemimpin kanan PKR di Johor sepatutnya melontarkan idea bernas serta cadangan terbaik untuk Johor mahupun Malaysia dan bukan mengada-ngada membuang masa di Dewan Rakyat dengan mengemukakan soalan dangkal dan tidak masuk akal.

Walaupun majoriti pengundi di Parlimen Tebrau adalah bukan Melayu namun PN Johor yakin rakyat di sana kecewa prestasi Jimmy Puah apabila setakat mampu mengemukakan soalan remeh sedangkan ruang, peluang dan masa di Dewan Rakyat adalah terhad serta sangat berharga.

Dulu ketika menjadi wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pun beliau tidak menyerlah dalam memperjuangkan tuntutan serta pembelaan terhadap pengundi di sana dan kini perkara serupa berlaku atau berulang di Parlimen Tebrau.

Untuk itu, PN Johor meminta Jimmy Puah mencontohi rakannya, Hassan Karim yang mewakili Parlimen Pasir Gudang kerana bersikap rasional apabila menegur kerajaan serta Perdana Menteri walaupun beliau dari parti kerajaan. -SM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button