AgamaNasional

Jemaah umrah boleh pilih stesen kuarantin

JEMAAH umrah mempunyai pilihan sama ada berurusan terus dengan stesen kuarantin swasta (rujuk hotel yang disenaraikan Agensi Pengurusan Bencana Negara atau NADMA) atau stesen kuarantin yang diuruskan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad dalam kenyataannya berkata, bagi penempatan kuarantin yang diurus oleh kerajaan, individu dalam pemantauan (PUS) iaitu jemaah yang negatif ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan ditempatkan di hotel atau pusat latihan awam, bergantung kepada ketersediaan bilik pada hari ketibaan.

Bagi pilihan ini, katanya, pusat latihan awam, kos kuarantin ditanggung oleh pihak kerajaan termasuk makan, minum serta pengangkutan dari lapangan terbang.

“Kerajaan memahami ramai jemaah umrah yang risau akan kos tambahan dan mungkin tidak selesa apabila dikuarantin nanti,” katanya.

Beliau berkata, tempoh kuarantin adalah seperti ditetapkan KKM dan terdapat enam stesen kuarantin institut latihan awam (ILA) yang disenaraikan untuk jemaah umrah.

Enam stesen kuarantin ialah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Institut Aminuddin Baki (IAB) Nilai, Negeri Sembilan, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Institut Semarak Felda dan Institut Latihan Kehakiman dan Perancangan (ILKAP) di Bangi, Selangor serta Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Menurut Abdul Latiff lagi, sebanyak 19 hotel di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor disenaraikan sebagai stesen kuarantin jemaah umrah sebaik mereka tiba di tanah air.

Berdasarkan senarai berkenaan, Klana Resort di Negeri Sembilan dan 10 hotel di Kuala Lumpur manakala lapan di Selangor.

Hotel di Kuala Lumpur ialah Hotel Royal, Swiss Garden, Bukit Bintang, Hotel IBIS, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Hotel Furama, Bukit Bintang, Hotel Mercure Kuala Lumpur Shaw Parade, IBIS Style KL Fraser Business Park, Hotel AnCasa, Hotel Cosmo, Hotel KIP dan Hotel Arena Star.

Penginapan hotel di Selangor ialah Hotel Sama-Sama, Hotel Grand Dorsett, Subang, Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya, Hotel Sunway Clio, Hotel Hilton Garden Inn, Puchong, Hotel Oriental Crystal, Hotel Summit USJ dan Hotel Pegasus, Shah Alam, Selangor. – SM

(Visited 393 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button