fbpx
Nasional

Wilayah Persekutuan benarkan solat jemaah, Jumaat, kuliah dan bernikah di masjid

WARGA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di zon hijau dibenarkan untuk melakukan solat berjemaah dan Jumaat bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri  berkata, keputusan tersebut telah mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, bilangan jemaah adalah seramai 1/3 daripada jumlah had kapasiti bagi dewan solat utama.

“Sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 333 orang buat masa ini.

“Jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau boleh melantik sukarelawan dalam kalangan jemaah bagi membantu kawalan sebelum dan selepas solat,” kata Zulkifli.


Menurutnya, wanita dan warga emas yang sihat juga dibenarkan untuk melakukan solat berjemaah di masjid dan surau.

Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, jemaah yang bergejala dan menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir buat masa ini.

Masjid turut dibuka di ruang tertentu untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir, pemandu dan rider perkhidmatan e-hailing.

Kuliah Maghrib dan Kuliah Subuh boleh dijalankan dengan mematuhi beberapa syarat iaitu Kuliah Maghrib perlu dihentikan sebaik sahaja masuk waktu Isyak. Manakala kuliah Subuh boleh berlangsung sekitar 20 hingga 30 minit sahaja.

“Cuma, saya ingin mengingatkan kepada jawatankuasa masjid, surau Jumaat dan surau bahawa jamuan makan selepas kuliah adalah tidak dibenarkan buat masa ini.

“Tidak lupa kepada bakal pengantin yang akan berumah tangga, akad nikah boleh dijalankan di masjid.

“Saya dimaklumkan, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengeluarkan garis panduan yang lebih terperinci untuk makluman pihak jawatankuasa kariah masjid, Surau Jumaat dan surau di
Wilayah Persekutuan,” kata Zulkifli dalam sidang akhbar hari ini.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button