Nasional

Institut Genom dinaiktaraf, fokus pengeluaran vaksin tempatan

Institut Genom Malaysia (MGI) dinaiktaraf kepada Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI).

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, naik taraf tersebut bersesuaian dengan skop institut berkenaan yang memberi tumpuan kepada penyelidikan genom dan biologi molekular dalam usaha penghasilan vaksin.

“Saya yakin, penubuhan MGVI ini dapat memberi kesan positif kepada negara daripada sudut ekonomi, sosial dan teknologi sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi kerana tiada kebergantungan kepada sumber bekalan dari luar,” kata Ismail Sabri pada majlis pelancaran hari ini.

Serentak itu, Perdana Menteri turut melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dengan tiga projek awal.

Projek pertama melibatkan pembangunan dua jenis vaksin COVID-19 menggunakan virus yang dilemahkan (inactivated) dan mRNA yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).


Pembangunan vaksin tersebut akan tertumpu kepada Variant of Concern (VOC) COVID19 yang terdapat di Malaysia.

Projek berkenaan menggunakan peruntukan penyelidikan Kementerian Kesihatan Malaysia dan SUKUK Prihatin (bantuan khas peruntukan penyelidikan COVID-19) yang berjumlah RM3.5 juta.

Projek kedua melibatkan pembangunan vaksin kolera yang dibangunkan hasil kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST).

Ismail Sabri berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi turut membiayai projek ini menggunakan Dana Penyelidikan Strategik (SRF) sebanyak RM10.5 juta bagi projek yang bertajuk Development of Mucosal/Oral/Subunit Vaccines Against Cholera, Tuberculosis and COVID-19.

Projek ketiga pula melibatkan pembangunan vaksin untuk kanser kepala dan leher oleh Pusat Penyelidikan Kanser melibatkan kos berjumlah RM3 juta yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Melalui pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan, kita menjangkakan lebih ramai saintis vaksin dapat dilahirkan.

“Ini sekali gus dapat menyokong pelbagai program dan perancangan kerajaan bagi meningkatkan kemampuan membangunkan vaksin khusus manusia, bukan sahaja untuk kegunaan dalam negara malah untuk pasaran global.

“Daripada sudut kesediaan industri pula, antara usaha yang telah dilakukan termasuk menerusi syarikat Pharmaniaga menerusi proses pembotolan atau ‘fill and finish’ vaksin COVID-19 iaitu CoronaVac atau lebih dikenali sebagai Sinovac, dan syarikat Solution Biologics bagi pembotolan vaksin Convidecia, atau dikenali sebagai CanSino,” katanya.

Menurut beliau, kadar import produk farmaseutikal Malaysia bernilai USD$1.94 bilion pada tahun 2020 dengan vaksin adalah antara lima item import utama dengan jumlah pembelian sebanyak RM4.3 bilion bagi vaksin COVID-19 sahaja.

Justeru katanya, kebergantungan kepada import menunjukkan Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pencipta teknologi dan bukan pengguna teknologi semata-mata.-SM

(Visited 28 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button