Nasional

Sijil halal produk “Merry Chrismas” satu kekeliruan – Dr. Zulkifli Mohamad

PREMIS perniagaan yang mempunyai sijil halal tidak akan dibatalkan sijil berkenaan hanya kerana produk yang ditempah oleh pelanggan mempunyai ucapan yang tertulis “Merry Christmas”.

Itu jaminan yang diberi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad menerusi ciapannya di Twitter berhubung dengan kekeliruan yang timbul.

Beliau berkata, tiada sebarang masalah berbangkit kepada pihak pengusaha premis atau pemegang sijil halal dan mereka boleh meneruskan perniagaan dan memenuhi tempahan pelanggan dengan ucapan “Merry Christmas” pada produk.

Menegaskan tiada larangan dikhususkan untuk perayaan selain Islam dalam manual tatacara pensijilan halal, Zulkifli berkata, ucapan “Merry Christmas” dibenarkan pada produk sekiranya ia dibuat “bukan dengan tujuan untuk dipamerkan dalam premis yang dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal”.

“Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia hanya terpakai bagi pemohon dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia,” ciapnya di Twitter.

Ringkasnya, jika kedai B yang ada sijil halal JAKIM buat kek dengan ucapan perayaan pada kek untuk tujuan pameran di dalam premis, ia tidak dibenarkan tetapi jika kedai B menyediakan kek yang ditempah A dan ada ucapan perayaan pada kek, ia dibenarkan, ujar beliau.

Sebagai rekod, terdahulu, menerusi laman Malaysia Now melaporkan, sebuah kedai bakeri tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan yang meminta ucapan “Merry Christmas” ditulis pada kek yang ditempah.

Menurut laporan itu lagi, pemilik kedai bakeri itu mengatakan ia sebahagian daripada peraturan yang ditetapkan oleh JAKIM sebagai salah satu syarat permohonan bagi mendapatkan sijil halal.

Zulkifli dalam hal ini berkata “ada sedikit salah faham” dalam isu ini dan beliau berharap dengan penjelasan yang diberikannya ini boleh meleraikan salah faham. – SM

 

 

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button