Nasional

Pinda akta benar tangguh pilihan raya

AKTA Pilihan Raya 1958 dilihat tidak lagi relevan untuk dikuatkuasa memandangkan ia tidak sesuai ketika negara sedang berhadapan dengan wabak pandemik.

Akta tersebut juga tidak memperuntukkan kebenaran untuk menangguhkan pelaksanaan pilihan raya yang merisikokan penularan Koronavirus (Covid-19) lebih teruk.

Beberapa asas menjadi alasan kepada keperluan pindaan adalah kebebasan kepada individu atau parti politik yang bertanding berhak berkempen untuk mendapatkan sokongan pengundi.

Malah, sebelum ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hanya Perintah Darurat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sahaja membenarkan penangguhan sebarang pilihan raya.

Jika tiada pelaksanaan Perintah Darurat, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas bubar, penyandangnya meletakkan jawatan atau meninggal dunia.

“Ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabai dan kaedah-kaedah yang sempurna mengikut undang-undang yang ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya.

“Bagaimanapun tiada peruntukan bagi menangguhkan pilihan raya. Mengikut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) wajib mengadakan pilihan raya untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam masa 60 hari.

Tangguhkan pilihan raya akibat krisis berkepentingan awam

“Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) berpandangan sudah tiba masa untuk satu semakan menyeluruh dibuat berhubung undang-undang sedia ada bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan.

“Ditangguhkan semasa krisis, termasuklah ketika krisis kesihatan, huru-hara dan bencana alam atau ketika keadaan yang membahayakan keselamatan negara.

“Bagi tujuan ini, satu peruntukan yang khusus boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengambil tindakan-tindakan perlu apabila berlaku apa-apa keadaan krisis yang memudaratkan negara.”

Demikian kata Pengerusi ERC, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof di Parlimen semalam.

Jangan sekat kebebasan dalam demokrasi

Justeru beliau menyambut baik kesediaan kerajaan untuk mengkaji cadangan mewujudkan akta tertentu membabitkan proses pilihan raya untuk mengekang penularan Covid-19.

“ERC berpandangan beberapa peruntukan baharu harus diperkenalkan dengan tujuan mengatasi keadaan-keadaan yang boleh mengganggu-gugat suasana pilihan raya demokratik.

“Di dalam pilihan raya demokratik setiap calon dan juga setiap parti wajar diberikan peluang seluas-luasnya untuk berkempen dan pengundi tidak harus dibatasi dengan peraturan-peraturan yang boleh dianggap menyekat mereka.

“Oleh itu, sudah tiba masa peruntukan baharu iaitu memasukkan Artikel atau Subartikel baharu dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Atau seksyen baharu dalam Akta Pilihan Raya 1954 disediakan bagi memperkasakan SPR yang diberi amanah untuk mengendalikan dan menguruskan pilihan raya di negara ini.

Selaraskan dengan pelbagai akta dan jabatan

“Dalam laporan ERC yang telah dikemukakan kepada Muhyiddin pada 27 Ogos 2020, sebagai salah satu penambahbaikan elemen kesiapsiagaan.

“Ini meliputi keadaan dan kecemasan seperti malapetaka alam, rusuhan ataupun perintah berkurung seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“ERC juga menyambut sekiranya ada usaha untuk memperkasakan undang-undang lain seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) semasa krisis kesihatan.

“Sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada minggu lalu.

“ERC bersedia untuk membantu Kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan peruntukan baharu berkaitan dengan keperluan menangguhkan pilihan raya semasa krisis,” jelasnya. – SM

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button