Nasionalpilihan

Shahdan ketuai angkat sumpah YDP PBT Melaka

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang baharu dilantik, Datuk Shahdan Othman mengetuai tiga lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di sini hari ini.

Turut mengangkat sumpah ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Rosemanizam Mohd. Nalif.

Sejurus tamat majlis mengangkat sumpah, Sulaiman kemudiannya menyerahkan watikah pelantikan kepada Shadan, Saifuddin, Rosemanizam dan Sapiah.

Upacara ringkas yang diadakan di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan serta barisan Exco yang lain.

Shadan dilantik sebagai Datuk Bandar MBMB yang baharu berkuatkuasa hari ini menggantikan Datuk Zainal Abu yang tamat perkhidmatan pada 31 Januari.

Sapiah yang pernah memegang jawatan tersebut dari 2011 hingga 2014 kembali semula memimpin MPHTJ sehingga Dismber 2023 manakala tempatnya yang kosong di MPJ pula diisi bekas Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan, Unit Kerajaan Tempatan (UKT), Rosemanizam.

Manakala Saifuddin yang kekal sebagai Yang Dipertua MPAG meneruskan jawatan itu berkuat kuasa mulai 1 September 2022 sehingga 1 September 2023.

Sulaiman berharap semua ketua PBT berkenaan dapat menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang, sekali gus membantu melancarkan pentadbiran negeri.

Sulaiman berkata, semua PBT perlu cakna dalam menyelesaikan isu yang sering dibangkitkan oleh penjaja kecil.

Menurutnya, selain itu PBT perlu menyelesaikan masalah penjaja kecil yang tidak mempunyai lesen dan melakukan sedikit inovatif bagi memudahkan mereka membuat permohonan dan diluluskan.

“Selain itu kena lakukan naik taraf kemudahan dan prasarana di kawasan-kawasan perniagaan mereka agar lebih kondusif dan mesra pelanggan,” ujarnya berucap pada Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT Negeri Melaka di sini.

Sulaiman menambah aspek kebersihan harus diberikan tumpuan utama di kawasan pentadbiran masing-masing bagi mengembalikan semula status Melaka yang dahulunya pernah diiktiraf sebagai negeri terbersih dan terindah di negara ini.

Katanya, dalam usaha mencapai visi Menuju Negeri Lestari peranan PBT amat penting terus menjaga alam sekitar ke arah persekitaran yang kondusif dan menjadikan Negeri Melaka sebagai negeri indah, ceria dan selamat. – SM

(Visited 268 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button