Nasional

PKPP: Zoo Melaka benarkan 500 pengunjung pada setiap sesi

MULAI hari ini, Zoo Melaka dibenarkan menerima 500 orang pengunjung dalam satu masa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

BERNAMA melaporkan, Pengarah Zoo Melaka dan Taman Burung, Zanariah Khamis berkata, pengunjung boleh membuat pilihan sama ada untuk memasuki sesi pertama dari pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari atau sesi kedua, 2 petang hingga 5 petang.

Zoo Melaka, kata Zanariah, mempunyai keluasan kira-kira 50 ekar (20 hektar).

Oleh itu, katanya, setiap sesi terhad kepada hanya 500 orang sahaja dan akan berehat selama dua jam setiap hari bagi melakukan proses nyahkuman, pembersihan atau sanitasi yang bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.

Related Articles

“Bagi pembelian tiket, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan beratur namun kesemua maklumat nama dan nombor telefon ahli keluarga perlu dimasukkan ke dalam rekod pengesanan pelanggan yang diletakkan di kaunter Zoo Melaka ini selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh PKPP, Zoo Melaka menawarkan harga ‘durian runtuh’ kepada orang ramai iaitu RM10 untuk dewasa manakala RM5 untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Zanariah berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak pentadbiran bagi mengembalikan zaman kegemilangan Zoo Melaka.

Ini termasuk menaik taraf dan menambah baik infrastruktur bagi menarik lebih ramai pengunjung, berkunjung ke zoo kedua terbesar di Malaysia itu.

“Macam-macam yang kita rancangkan termasuk mewujudkan ‘petting zone’, sesi bergambar dengan haiwan, pemberian makanan secara percuma kepada haiwan, bertemu maskot pada hujung minggu dan banyak lagi,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini melalui ‘Tabung Sumbangan Zoo Melaka’ yang dilancarkan April lalu, Zoo Melaka berjaya mengumpul dana berjumlah RM94,000, manakala sumbangan makanan yang diterima di taman itu bernilai RM250,000.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan bagi Tabung Sumbangan Zoo Melaka, boleh menyalurkannya ke dalam akaun CIMB Bank Zoo Melaka atas nama Zoo MPHTJ bernombor akaun 8009600869.

“Syarikat swasta, badan kerajaan dan individu seluruh negara juga dipelawa untuk menjadikan haiwan di taman ini sebagai haiwan angkat dalam usaha memastikan bekalan makanan, perubatan dan pengurusan haiwan ini dilakukan secara berterusan,” katanya.

Zoo Melaka ditubuhkan pada 1963 menempatkan kira-kira 650 haiwan daripada 150 spesies yang berlainan dari seluruh dunia selain berperanan sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju membenarkan semua zoo beroperasi mulai hari ini. – SM

(Visited 405 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.
Back to top button