Nasional

Pantun Dr. Noor Hisham pada hari terakhir Dr. Rohaizat

BUKAN sahaja hebat dalam bidang perubatan tetapi juga boleh berpantun. Menghargai petugas di bawahnya Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menghadiahkan dua rangkap pantun kepada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr. Rohaizat Yon yang menamatkan perkhidmatannya hari ini.

Dr. Noor Hisham menyifatkan Dr. Rohaizat yang sentiasa berdiri di sebelahnya semasa sidang media harian COVID-19 Kementerian Kesihatan sebagai salah seorang panglima perang dalam menewaskan virus maut tersebut.

Hebat Nakhoda berlayar selamat,
Tibanya malam berlabuh bahtera,
Bertahun lama menabur khidmat,
Bersama KKM membantu Negara.

Keris pusaka penuh azimat,
Masihlah terjaga tinggalan desa,
Selamat Bersara Dr Rohaizat,
Baktimu mulia dikenang sentiasa.

Dr. Rohaizat telah berkhidmat selama 35 tahun dengan Kementerian Kesihatan. Beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) sejak 25 Mac 2019.

“Pada pengakhiran perkhidmatannya, sudah menjadi rezeki beliau (barangkali), untuk bersama-sama dengan saya dan barisan panglima-panglima KKM untuk mengharungi wabak COVID-19 ini.

“Setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Datuk Dr Rohaizat kerana telah memberikan komitmen yang begitu tinggi sepanjang perkhidmatan beliau kepada rakyat dan Negara.

“Kalau nak bercerita mengenai kejayaan-kejayaan dan sumbangan beliau, memanglah banyak dan tidak dapatlah saya hendak sebutkan satu persatu,” kata Dr. Noor Hisham.

Hari terakhir perkhidmatan Dr. Rohaizat menyaksikan jangkitan baharu Covid-19 dalam negara merekodkan kes terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dengan hanya dua kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada dua kes baharu yang dilaporkan itu, ada satu kes import dan satu lagi kes penularan tempatan membabitkan bukan warga Malaysia.

Untuk rekod, dua hari berturut-turut tiada jangkitan Covid-19 berkaitan kes penularan tempatan membabitkan rakyat tempatan.-SM

 

 

(Visited 1,051 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button