Mahkamah

Shafee menang rayuan saman fitnah terhadap Majlis Peguam, Tommy

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menang saman fitnah terhadap Majlis Peguam, Tan Sri Tommy Thomas dan VC George.

Saman tersebut berkaitan dakwaan bahawa Majlis Peguam melanggar tanggungjawab statutori, manakala Tommy Thomas dan VC George didakwa cuba untuk membincangkan kelakuan Shefee sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam kes Liwat II Anwar Ibrahim ketika mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu pada 2015.

Hakim Abdul Rahman Sebli, yang menyampaikan penghakiman panel tiga hakim berkata, Majlis Peguam, Tommy Thomas dan VC George bertanggungjawab atas tindakan mereka.

Namun katanya, hanya Majlis Peguam harus membayar ganti rugi kerana ia adalah sebuah badan berkanun bawah Akta Profesion Undang-Undang.

“Kami tidak mengeluarkan perintah serupa terhadap Thomas dan George kerana mereka bukan badan berkanun,” katanya.

Panel berkenaan, yang turut dianggotai hakim Rohana Yusuf dan Vernon Ong Lam Kiat, mengembalikan kes ini ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi.

Rahman berkata, Majlis Peguam tidak mempunyai kuasa untuk membincangkan kelakuan peguam dalam AGM kerana perkara itu berada bawah bidang kuasa lembaga.

“Setiap aduan mengenai peguam mesti dirujuk kepada lembaga dan tidak boleh melalui AGM Majlis Peguam,” katanya.

Katanya, Thomas dan George sebagai peguam kanan harus tahu bahawa setiap tuduhan salah laku terhadap peguam lain harus dirujuk kepada lembaga berkenaan.

“Sebenarnya, mereka mahu beliau dihukum di AGM sebelum perkara itu dirujuk kepada lembaga,” tambahnya seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today.

Beliau berkata, Majlis Peguam melanggar undang-undang ketika menghebahkan usul dua peguam itu di laman webnya.

“Ini tidak adil dan menghakimi kesalahannya terlalu awal ketika hal ini dikemukakan di hadapan lembaga,” tambahnya.

Menurut Rahman, Seksyen 99 Akta (Profesion Undang-Undang) memperuntukkan dengan jelas bahawa setiap aduan mengenai peguam mesti dirujuk terlebih dahulu kepada lembaga.

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button