MahkamahNasional

Najib tak boleh sentuh aset bernilai hingga USD681 juta

Hanya boleh keluarkantak melebihi RM100,00 belanja bulanan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh mengalih, melupus, mengendali atau mengurangkan nilai aset beliau dalam negara sehingga nilai USD681 juta.

Menerusi dokumen perintah diperoleh media, Najib juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang daripada akaun bank melebihi RM100,000 sebulan bagi perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.

Perintah itu yang dikeluarkan semalam, menurut laporan Berita Harian, hari ini, dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman, Atan Mustaffa Yussof Ahmad dalam prosiding Zoom selepas membenarkan permohonan injunksi mareva sebelah pihak yang dipohon oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

Ia berkuat kuasa sementara menunggu keputusan akhir kes saman sivil USD8 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap Najib dan bekas pengurusan kanan 1MDB.

Berdasarkan perintah itu juga, Najib perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified yang bertindak sebagai plaintif pertama dan kelima dalam kes saman sivil berkenaan jika beliau memerlukan lebih daripada RM100,000 sebulan.

Najib boleh memohon dan mendapatkan kebenaran mahkamah sekiranya tiada kebenaran bertulis diberikan.

Perintah itu juga antara lain menyebut, Najib mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga nilai USD681 juta sama ada dalam atau luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Najib juga hendaklah memberikan nilai, lokasi dan segala maklumat aset dan maklumat itu hendaklah disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima.

Jika keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi jumlah USD681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada USD681 juta.

Perintah terbabit juga menyatakan, mana-mana individu dalam prosiding itu atau sebaliknya yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah atau boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

Tuntutan saman USD8 bilion itu adalah salah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih USD23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terbabit dalam skandal kewangan tersebut. – SM

 

(Visited 327 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button