MahkamahNasional

Hisyam Teh Poh Teik ketuai 12 peguam bela Muhyiddin

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik peguam Hisyam Teh Poh Teik mengetuai pasukan pembelaannya melawan tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan program Jana Wibawa yang dimulakan oleh pentadbirannya.

Firma guaman Chetan Jethwani & Co dilantik sebagai peguam cara Muhyiddin dalam rekod.

“Ya, beliau (Hisyam) akan mengetuai pasukan pembelaan Muhyiddin,” kata Chetan Jethwani kepada FMT.

Difahamkan bahawa Hisyam, pengamal undang-undang jenayah selama kira-kira 40 tahun, dilantik bulan lalu.

Seramai 12 orang peguam lain akan membantu beliau dalam kes itu.

Hisyam juga peguam utama dalam kes rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 23 September lalu, Ahmad Zahid, 70, dibebaskan daripada 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) tanpa dipanggil membela diri.

Kes itu melibatkan sistem visa luar negara (VLN) kendalian Kementerian Dalam Negeri, ketika Ahmad Zahid menjadi menterinya.

Pihak pendakwaan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam itu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO masih berdepan 35 tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah bagi pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri.

Beliau diperintahkan membela diri tahun lepas dan setakat ini, enam saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes itu.

Hisyam juga buat masa yang singkat mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International.

Peguam itu cuba melepaskan diri daripada mengendalikan kes itu selepas permohonannya untuk mendapatkan penangguhan rayuan utama ditolak.

Pada 23 Ogos, Mahkamah Tertinggi mengesahkan sabitan Najib serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020.

Sementara itu, seorang lagi peguam dalam pasukan pembelaan, yang enggan namanya disiarkan berkata, Hisyam akan menghadiri pengurusan kes pada Isnin berikutan permohonan Muhyiddin membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa.

Muhyiddin yang memfailkan permohonan itu pada 19 April di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memohon dibebaskan daripada semua tuduhan.

Sebagai alternatif, Presiden Bersatu itu mahu semua prosiding di Mahkamah Sesyen, tempat beliau didakwa, ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan itu.

Katanya, tuduhan-tuduhan itu tidak menunjukkan berlakunya sebarang kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata, tuduhan-tuduhan itu merupakan penyalahgunaan proses kerana tidak mempunyai butiran bagaimana beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021.

Tuduhan-tuduhan tersebut adalah berhubung Program Jana Wibawa yang didakwa digunakan bagi mendapatkan RM232.5 juta untuk Bersatu. – SM

BACA Muhyiddin Yassin dijangka didakwa di mahkamah esok

 

(Visited 1,174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button