Nasional

Muhyiddin Yassin dijangka didakwa di mahkamah esok

PRESIDEN parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas perdana Menteri dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Menurut laporan Berita Harian, perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Muhyiddin yang juga Presiden Perikatan Nasional (PN) dikatakan bakal berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan pengubahan wang haram.

Empat tuduhan salah guna kuasa itu dijangka mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1), undang-undang sama.

Mereka yang disabitkan kesalahan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Kedua-dua tuduhan pengubahan wang haram itu dirangka mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla).

Ia memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, hari ini, Ahli Parlimen Pagoh itu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada kira-kira pukul 11 pagi untuk memberikan keterangan.

Muhyiddin yang semalam menyangkal dakwaan ditahan di padang golf di Selangor, sebelum ini mengesahkan dipanggil SPRM.

Ia bagi siasatan berhubung projek bawah Jana Wibawa, inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera diperkenalkan pada November 2020 semasa beliau menjadi perdana menteri.

Akaun Bersatu dibekukan SPRM sebulan lepas mengikut Amla.

Bulan lepas, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta.

Beliau juga didakwa meminta suapan dengan jumlah yang tidak dinyatakan berhubung projek jalan raya bernilai RM232 juta yang juga berkaitan dengan program Jana Wibawa.

Timbalan Ketua parti Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad juga didakwa atas lima tuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung projek melibatkan Jana Wibawa.

Sementara itu, Bendahari Agung Bersatu, Salleh Bajuri dibebaskan oleh SPRM pada 3 Mac, baru-baru ini selepas dia ditahan dan direman selama dua hari.

Penahanan Salleh berkaitan dengan siasatan ke atas program Jana Wibawa dan permohonan dalam talian Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN).

AkuPN ialah inisiatif yang dilancarkan oleh Perikatan Nasional (PN) pada 2021 untuk membantu belia mendapatkan pekerjaan, menghadiri program peningkatan kemahiran atau memulakan perniagaan sendiri. – SM

(Visited 272 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button