KesihatanPenyakit

Seorang lagi mati akibat penyakit anjing gila di Sarawak

SATU lagi kematian akibat penyakit anjing gila atau rabies dilaporkan berlaku di Sarawak.

Wanita berumur 53 tahun dari daerah Selangau, Sibu menjadi mangsa terbaharu selepas dia dimasukkan ke Hospital Sibu pada 8 Disember lalu selepas mengalami gejala sesak nafas dan batuk.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, mendiang pernah digigit oleh anjing yang dipeliharanya di bahagian jari pada bulan Oktober tahun ini.

Katanya, mangsa tidak pergi mendapatkan rawatan dengan segera selepas digigit oleh anjing terbabit.

“Anjing tersebut telah mati tanpa diketahui sebab kematian beberapa hari selepas menggigit tuannya tetapi ia tidak dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

“Mangsa juga ada membela beberapa ekor anjing dan kucing tetapi kesemua haiwan ini tidak dibawa untuk suntikan vaksin anti-rabies,” kata Dr. Noor Hisham.

Menurut Dr. Noor Hisham, mangsa mengadu sakit tekak, demam dan lemah badan selama tiga hari sebelum dimasukkan ke wad.

Beliau telah meninggal dunia pada 15 Disember dengan diagnosa rabies meningoencephalitis.  Diagnosa tersebut turut disahkan dengan ujian makmal positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 17 Disember.

Kes tersebut menjadikan jumlah kes jangkitan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak meningkat kepada sembilan orang pada tahun ini.

Pertambahan kes tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 31 Julai sehingga kini adalah berjumlah 31 kes dengan 29 kematian.

Menurut Dr. Noor Hisham, hanya dua kes yang masih hidup dan kedua-duanya melibatkan kanak-kanak dengan sejarah mendapat rawatan awal.

Kematian akibat jangkitan rabies dapat dielakkan dengan mengambil beberapa langkah-langkah pencegahan.

Bagi tindakan awal, mereka yang digigit oleh anjing atau haiwan lain perlu mencuci bahagian tubuh yang digigit menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

Kemudian mangsa perlu segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

Pemilik anjing dinasihatkan memastikan haiwan peliharaan mendapat suntikan anti-rabies setiap tahun dan mengelakkan anjing peliharaan bercampur dengan anjing atau haiwan liar.

Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkah laku termasuk bersikap agresif pemilik perlu membawa haiwan tersebut mendapatkan rawatan segera di klinik haiwan.

Mereka juga perlu melaporkan kejadian tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berhampiran .

Selain itu pemilik juga perlu melaporkan kematian haiwan tanpa sebab kepada DVS untuk siasatan selanjutnya.

Penduduk juga dinasihatkan melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal.-SM

 

 

(Visited 410 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button