Jenayah

Bekas pengerusi Mara Inc ditahan, bakal didakwa rasuah RM33.45 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas pengerusi Mara Incorporated yang bergelar datuk hari ini berkaitan dakwaan menerima habuan RM33.45 juta daripada urus niaga hartanah di Australia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan yang suspek ditahan ketika hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

Azam berkata, suspek yang berusia 65 tahun akan berdepan 22 pertuduhan rasuah berkaitan pembelian Dudley International House di Australia oleh Mara Inc.

Dakwaan rasuah itu selepas rangka laporan yang disediakan firma Ernst and Young kepada kerajaan Malaysia bocor dan diperolehi akhbar The Age di Melbourne dan The Sydney Morning Herald.

Laporan yang dibuat pada 2019 itu mengenal pasti tiga individu utama dalam urus niaga meragukan tersebut.

 

SPRM memulakan siasatannya tahun lalu susulan pendedahan oleh media Australia.

Bekas pengerusi Mara Inc itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat ini.

Kesemua 22 pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 16 (a) dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen 16 (a) berkenaan kesalahan “secara rasuah meminta, menerima atau bersetuju untuk menerima bagi dirinya atau mana-mana orang lain” apa-apa suapan sebagai dorongan atau upah.

Seksyen 17 (a) pula berkenaan kesalahan secara rasuah setuju menerima suapan daripada mana-mana pihak sebagai dorongan atau upah.

Kedua-dua seksyen memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

(Visited 804 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button