Nasional

Selepas jumpa Dong Zong, Isma mahu Mujahid bertemu NGO Islam

IKATAN Muslimin Malaysia (Isma) mohon laluan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Rawa  membenarkan NGO-NGO Islam dan Melayu untuk bertemu dengan beliau.

Menurut Presiden Isma, Aminuddin Yahaya, perjumpaan itu susulan pertemuan Mujahid dengan pemimpin gabungan persatuan lembaga pengelola dan guru sekolah Cina, Dong Jiao Zong di Kompleks Islam, Putrajaya semalam.

Menurut Aminuddin, pertemuan Mujahid dengan NGO Islam perlu untuk mereka menjelaskan kepada menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam itu mengenai apa sebenarnya yang dilakukan oleh Dong Jiao Zong.

“Melihat kepada kenyataan beliau itu, ada dua kemungkinan iaitu sama ada beliau ditipu atau rakyat diperbodohkan, itu saya tak pasti.

“Yang pasti ialah Dong Zong secara jelas jelas dalam banyak kenyataan dan tindakan mereka sebelum ini menentang pembelajaran tulisan Jawi,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, beliau terkejut dengan kenyataan Mujahid yang didakwa sanggup membersihkan nama pertubuhan yang Perdana Menteri sendiri pernah melabelkan mereka sebagai rasis.

Mujahid selepas pertemuan tertutup dengan pemimpin Dong Jiow Zong semalam berkata, pertubuhan itu tidak rasis dan tidak tolak pelajaran Jawi.

 “Kami juga bersetuju bahawa tidak timbul isu Dong Jiao Zong menentang pembelajaran dan pengajaran Jawi.

“Dong Zong bukan pertubuhan yang rasis.

“Isu yang dibangkitkan adalah kaedah perlaksanaan pembelajaran yang memerlukan perbincangan secara konstruktif oleh semua pihak,” kata beliau sambil membacakan lima perkara yang dipersetujui bersama dalam mesyuarat itu,” kata Mujahid.

Dong Jio Zong sebelum ini mengkritik Kementerian Pendidikan kerana memaksa pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan.

Menurut Dong Jiao Zong, langkah tersebut melemahkan kuasa lembaga pengelola sekolah untuk menguruskan hal ehwal di sekolah mereka sendiri.

Berdasarkan polisi semasa yang berkuat kuasa sejak awal tahun ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah vernakular akan menghantar borang kaji selidik kepada ibu bapa bertanyakan jika mereka menyokong pengajaran pelajaran Jawi sebagai sebahagian daripada subjek Bahasa Malaysia.

Jika sekurang-kurangnya separuh daripada ibu bapa di sekolah tersebut bersetuju, maka tiga halaman pelajaran Jawi berkenaan akan diajar di sekolah itu.-SM

 

 

(Visited 243 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button