Hiburan

Sarimah Ibrahim akui pernah kemurungan selepas lahirkan anak pertama

Penyanyi dan pengacara popular, Che Puan Sarimah Ibrahim mendedahkan pengalaman ngerinya ketika mengalami kemurungan selepas melahirkan cahaya mata pertamanya, Tunku Sofia Najihah dua tahun lalu.

Menurut Sarimah, disebabkan masalah kemurungan itu, dia selalu menangis dan terpaksa berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.

“Ketika alami kemurungan itu, saya berhadapab masalah menggeletar badan, sering menangis, sukar untuk tidur serta tak dapat pegang anak sendiri. Saya seolah-olah hilang harapan waktu itu dan fikir saya dah tak waras.

“Sewaktu bercakap dengan doktor, dia tenangkan saya. Doktor kata kemurungan selepas melahirkan ini memang sering dialami oleh ramai wanita yang bergelar ibu,” jelasnya.

Sarimah berkata demikian ketika sesi sidang media secara virtual bersama komposer dan penyanyi Damian Mikhail sewaktu majlis pelancaran lagu dan muzik video Harapan bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut semalam.


Ujar Sarimah, sebelum berlakunya sesuatu perkara lebih buruk yang dilakukan ketika itu, dia telah berjumpa dengan pihak-pihak yang lebih pakar untuk mengatasi masalahnya itu.

“Sepanjang mengalami masalah berkenaan, saya menjalani kaedah rawatan secara holistik, di mana saya pergi kaunseling, makan ubat, pergi jumpa ustaz dan sebagainya tapi apa yang paling penting, jangan sesekali putus harapan.

“Kalau diikutkan enam bulan juga masa yang diambil untuk sembuh, namun sehingga kini saya masih lagi menjalani sesi kaunseling untuk emotional dan mental maintenance,” ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai lagu Harapan, Sarimah memberitahu, ia ditujukan khas buat mereka yang sedang di dalam kebuntuan dan permasalahan emosi supaya tidak berputus asa terutama sekali dalam mengharungi pandemik Covid-19 ini.

Jelasnya, lagu bertemakan R&B pop ini merupakan hasil ciptaan Damian dan dinyayikan oleh Sarimah serta Damian sendiri.

“Penjagaan kesihatan mental sangat penting bagi setiap individu dan saya sangat risau dengan kesihatan mental rakyat Malaysia sekarang. Bagaimanapun, saya dengan penuh harapan yakin kita boleh jaga kita sekiranya kita semua ambil tahu dan ambil berat pada tindakan dan emosi kawan-kawan.

“Saya berharap agar semua dapat meminta bantuan dan tidak mengalami diskriminasi sama ada di sekolah, di tempat kerja, bersama kawan-kawan, di mana sahaja mereka berada. Setiap orang yang sedang berjuang dengan minda dapat merasakan sekurangnya mereka tidak keseorangan dan bantuan itu sentiasa ada,” ujarnya lagi.

Menurut Sarimah yang juga pengasas bersama dan duta bagi kempen #StandForHope menegaskan tanpa adanya kesihatan mental seseorang individu, maka tiadalah kesihatan rakyat yang sebenarnya.

(Visited 40 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button