Nasional

Saling percaya, mempercayai elemen penting dalam pasukan – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa ‘percaya dan saling mempercayai’ adalah antara elemen penting dalam kerja berpasukan dan mengelakkan sebarang bentuk konflik dalam sesebuah organisasi. Tanpa kepercayaan kita tidak akan dapat membina hubungan yang baik dan tidak dapat bekerja secara efektif sebagai sebuah pasukan. Kepercayaan juga memerlukan sebuah kejujuran dan membolehkan kerja dilakukan secara efisien tanpa prasangka.

Setiap warga juga perlu memahami objektif kewujudan organisasi masing-masing. Tanpa memahaminya para pekerja tidak dapat mempamerkan prestasi terbaik, produktiviti dan melakukan kerja hanya berdasarkan tafsiran sendiri. Ini akan mewujudkan situasi di mana para pekerja itu sendiri akan bekerja sebagai individu berbanding sebagai sebuah pasukan.

Setiap warga kerja juga perlu menanamkan rasa setia dan dedikasi kepada organisasi. Ia membolehkan kita sentiasa komited tanpa mengira masa, tenaga dan apa sahaja yang disumbangkan terhadap organisasi masing-masing.

Demikian titah baginda menurut hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah kepada Mustakim Sahamat, 69 tahun di Kg Behor Temak, Kangar. Mustakim berasal dari Lombok, Indonesia berhijrah ke Malaysia sejak beliau berusia 18 tahun lagi tinggal di rumah sewa berkenaan bersama isteri dari Perlis yang menghadapi masalah penglihatan akibat penyakit kencing manis. Pasangan ini menerima ‘Bantuan Bulanan’ dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ‘Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs’.

Sumbangan tersebut adalah sempena program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli menjejaki dan menyantuni asnaf’ bilangan ke 39 bagi tahun 2021 baru-baru ini. Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.


Terdahulu Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan singgah menyantuni seorang lagi asnaf iaitu Badariah Desa, 77 tahun yang tinggal seorang diri di Kg Padang Katong, Kangar bagi menyerahkan sumbangan yang sama. Beliau mengidap sakit lutut dan tidak lagi dapat berjalan seperti biasa sejak kebelakangan ini.

(Visited 54 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button