Nasional

Salahkan Atok, bukan saya punca tol Jambatan Pulau Pinang dilaksanakan – Najib

PETALING JAYA: Najib Razak menolak dakwaan Lim Guan Eng bahawa beliau bertanggungjawab melaksanakan tol Jambatan Pulau Pinang.

Beliau turut mengingatkan pengerusi kebangsaan DAP itu bahawa Dr Mahathir Mohamad yang melakukannya dalam tempoh pertama sebagai perdana menteri.

“Yang melaksanakan tol ialah bos awak ‘Atok’ (Mahathir). Malah dia memandu Proton Saganya melintasi jambatan ketika merasmikan jambatan itu,” kata Najib dalam catatan Facebook hari ini.

Beliau menjawab dakwaan bekas ketua menteri Pulau Pinang bahawa Najib telah melaksanakan tol tanpa mengambil sebarang langkah untuk mengurangkan caj tol.

Najib mencadangkan Lim mungkin tidak berpuas hati dengannya kerana mempersendakan usaha DAP memberikan diskaun 18% untuk tol Jambatan Pulau Pinang tetapi telah melanjutkan tempoh konsesi untuk tol jambatan dan lebuh raya daripada 18 tahun kepada 38 tahun.

“Semasa saya menjadi perdana menteri, kerajaan telah memberikan diskaun 20% kepada semua rakyat Pulau Pinang yang membayar caj tol menggunakan kad Touch ‘n Go.

“Saya juga memansuhkan 11 tol dan membina dua lebuh raya utama tanpa tol pada zaman saya,” katanya.

“Berapa banyak tol yang dimansuhkan dan berapa banyak lebuh raya utama tanpa tol dibina semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah?”

Baru-baru ini, Najib mendakwa DAP telah mengkhianati rakyat Pulau Pinang berhubung janjinya untuk memansuhkan tol di Jambatan Pulau Pinang jika PH memenangi pilihan raya umum 2018 (PRU14).

Beliau berkata Lim sebaliknya membenarkan tempoh konsesi tol dilanjutkan selama 20 tahun lagi, sehingga 2058.

“Kerajaan PH-DAP memberi diskaun 18% untuk tol jambatan pada 2020 dan meminta rakyat Pulau Pinang memuji mereka.

“Tetapi adakah rakyat Pulau Pinang tahu bahawa diskaun 18% ini diberikan dengan syarat konsesi PLUS bagi tol jambatan dan lebuh raya dilanjutkan selama 20 tahun lagi dari 2038 hingga 2058?

“Rakyat Pulau Pinang (dan cucu-cucu mereka) perlu membayar tol selama 38 tahun lagi,” katanya sambil menambah diskaun itu kecil tetapi tempoh konsesi telah digandakan.

 

(Visited 641 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button